Pelakon Alif Hadi mendedahkan hubungan cintanya bersama pelakon dan pengacara jelita, Yasmin Hani kini telah pun berakhir.
Menurut Alif, tindakan tersebut merupakan keputusan bersama dan dia reda hasrat untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian.
“Kini status saya sudah berseorangan. Saya sebenarnya tak nak komen sangat hal ini. Sangat sensitif dan tidak elok dikongsikan.
“Saya tak nak uar-uarkan. Namun, jika sudah waktunya orang di luar sana tahu, akan berlaku juga.
“Hal ini tiada kena mengena dengan bekas pasangan, Hani. Pada saya, mungkin jodoh kami setakat itu sahaja. Saya pun tak nak menyalahkan mana-mana pihak.
“Mungkin kedua-dua kami ini salah dan mungkin juga kami betul. Ini adalah keputusan bersama,” katanya kepada MH.
Pemenang Anugerah Aktor Pembantu Filem Popular itu berkata sedemikian ketika ditemui di Anugerah Bintang Popular ke-36, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon drama Kisah Cinta Rumi itu memaklumkan dirinya kini mahu meneruskan kehidupan seperti biasa dan enggan terlalu memikirkan soal perasaan.
“Sejujurnya, rasa sedih itu memang ada kerana kami sudah menjalinkan hubungan selama tiga tahun. Malah, kami merancang untuk berkahwin
“Saya hanya berserah kepada Tuhan. Pada masa sama, saya pun tak nak buang masa dan kita kena teruskan kehidupan.
“Tuhan itu sebaik-baik perancang. Dia ambil satu nikmat daripada saya, Dia gantikan dengan perkara lebih manis (trofi ABP36),” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Alif memaklumkan hubungannya bersama Yasmin masih lagi baik dan mereka tidak akan bermasam muka.
“Kami masih berhubung. Kadang-kadang, anaknya ada membuat panggilan video. Mereka ajak saya berjumpa. Saya akan cari masa nanti.
“Hubungan kami masih baik dan tiada pergaduhan. Kalau sudah tiada jodoh, buat apa nak bermasam muka. Industri kita ini kecil sahaja,” kongsinya lagi.
Katanya lagi, dia kini hanya mahu memberikan fokus terhadap kerjaya lebih-lebih lagi selepas memenangi anugerah di ABP Ke-36.
“Kini saya alihkan fokus kepada diri sendiri dahulu. Saya sibukan diri dengan bekerja. Alhamdulillah tawaran saya ketika ini tidak putus-putus.
“Jika tiada pekerjaan, mungkin keadaan mental saya agak teruk. Namun kini semuanya berjalan lancar,” akhirnya.
Sebelum ini, Alif dan Yasmin sememangnya merupakan pasangan yang hangat bercinta dah sudah merancang untuk mendirikan tangga bersama.
Untuk rekod, Yasmin pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli muzik, Sha’arin pada 2015 namun berpisah selepas 10 tahun berkahwin.
Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Noah Ismail Wong, 10 dan Eissa Elzander Wong kini berusia tujuh tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.