Walaupun tidak menjadikan ilmu guaman yang dipelajarinya sebagai kerjaya utama, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad tetap berbangga bergelar salah seorang alumni graduan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.
Menerusi beberapa siri Instagram Stories yang dikongsikan, Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 30, diundang untuk meraikan sambutan ulang tahun ke-50 fakulti tersebut pada Jumaat.
“So honoured to be invited. Sebagai seorang alumni, walaupun saya tidak mempraktiskan diri dalam bidang guaman tapi saya tetap berasa berbangga mendapat pendidikan tertinggi di sini.
“Saya sentiasa berbangga dengan fakulti saya di Universiti Malaya,” tulis Uyaina.
Pengacara program Wanita Hari Ini (WHI) itu turut berkongsi gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan salah seorang alumni dari fakulti yang sama.
“Perdana Menteri kita juga merupakan super duper senior saya,” tulisnya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.
Sementara itu, dalam perkembangan sama usia kandungan Uyaina sudah mencecah lima bulan sejak dia mengumumkan berita gembira itu kepada peminat pada April lalu.
Pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu dijangka bersalin pada Oktober ini.
Untuk rekod, Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Raja Syahiran di Colony Star Boulevard, Kuala Lumpur pada 20 Disember tahun lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Uyaina Arshad