Pelakon antarabangsa, Kelly Preston dilaporkan telah meninggal dunia pada Ahad akibat penyakit kanser payudara.
Berita sedih dimaklumkan suaminya yang juga merupakan seorang pelakon, John Travolta menerusi laman media sosial Instagram.
Selain itu, John turut memberitahu isterinya menderita sejak beberapa tahun lalu.
“Berat hati untuk memaklumkan kepada semua bahawa isteri saya, Kelly telah pergi (meninggal dunia) selepas berjuang dua tahun dengan kanser payudara.
“Dia telah berjuang dengan penuh berani melawan penyakit ini bersama kasih sayang dan sokongan ramai.
“Kelly akan terus dicintai dan diingati selalu. Saya akan mengambil beberapa tempoh untuk bersama dengan anak-anak yang kehilangan ibu mereka.
“Atas sebab itu, saya minta maaf sekiranya tidak mendengar khabar mengenai kami buat seketika, tetapi saya dapat rasai kasih sayang daripada anda semua,” tulisnya.
Mendiang Preston berkahwin dengan Travolta di Paris pada tahun 1991.
Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga selama 28 tahun dan memiliki tiga cahaya mata.
Foto: Instagram John Travolta, Astro Awani