“Seperti Juga Kehidupan, Tetap Ada Masalah Teknikal,” – Shila Amzah Reda Mikrofon Rosak

Share

Penyanyi Shila Amzah tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak susulan masalah teknikal mikrofon tidak berfungsi ketika dia dan adiknya, Syahir Amzah membuat persembahan di konsert minggu pertama Famili Duo musim ke-3 (FD3) pada Ahad.

Menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, dia telah cuba melakukan yang terbaik demi menyelamatkan keadaan.

“Seperti juga dalam kehidupan, ada juga masalah teknikal. Jadi, saya teruskan sahaja. Apa lagi yang boleh saya buat. Perkara seperti ini memang tidak boleh dijangka.

“Kita sudah rehearsal untuk beberapa hari, semuanya berjalan dengan lancar. Yang penting kami sudah buat sehabis baik dan semampu kita pada ketika itu,” katanya kepada MH.

Anak kepada penyanyi ND Lala itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas selesai program berkenaan yang berlangsung di Studio NTV7, Glenmarie, Shah Alam.

Katanya lagi, dia juga menyifatkan perkara tersebut sebagai lumrah yang perlu dilalui setiap penyanyi.

“Kecewa itu tidak. Bila sudah berusaha, kita kena tawakal. Sebelum naik ke atas pentas, saya memang sudah bagitahu Syahir kita memang kena berserah kepada Allah.

“Apa sahaja akanberlaku di atas pentas. Saya dah ingatkan Syahir tapi saya lupa nak ingatkan diri sendiri. Sebab itu saya agak panik sedikit.

“InsyaAllah pada minggu hadapan kita boleh buat yang lebih baik,” ulasnya lagi.

Sementara itu, Syahir akui sedikit ralat kerana tidak dapat membuat persembahan seperti yang telah dirancang berikutan masalah teknikal yang berlaku.

“Saya tidak kecewa tapi saya merasakan kami mampu berikan 110 peratus kalau masalah tersebut tidak berlaku. Mungkin kami akan lebih puas dengan persembahan kami,” katanya.

Ditanya adakah mereka menyasarkan untuk bergelar juara di FD3 ini, Shila memaklumkan dia dan adiknya hanya mahu berhibur serta memperbaiki kelemahan.

“Saya sudah bagitahu Syahir, bila masuk pertandingan, kita jangan sasar untuk menang. Kita sasar untuk perbaiki dan mempelajari setiap ilmu pada setiap minggu.

“Bila masuk pertandingan ini bersama Syahir, saya tak boleh memikirkan diri saya seorang. Bila berduet, kerjasama dan kebersamaan diambil kira.

“Markah yang kami terima tadi adalah markah bersama. Kalau bergelar juara, ia merupakan rezeki buat kami. Kami hanya nak enjoy sahaja,” akhirinya.

Terdahulu, mikrofon yang digunakan Shila dilihat tidak berfungsi ketika dia dan Syahir sedang membuat persembahan untuk membawakan lagu, Menggegar Dunia nyanyian asal Adam dan Stacy.

Ketika masalah tersebut berlaku, Shila dilihat cuba mengawal keadaan sehingga terpaksa menukar mikrofon secara langsung di atas pentas.

Bagaimanapun, masalah tersebut tetap berlaku sehingga dipertengahan persembahan.

Namun, juri tetap memberikan pujian kepada Syahir yang dilihat tidak panik dan meneruskan persembahan seperti yang dirancang.

Pasangan ini berjaya menduduki tempat kedua dibelakang Duo Terbaik, Sharif dan Syaiful.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf