Berita

“Setakat Komen Biasa Okey Lagi Tapi Bila Ada Yang Menuduh Saya Bermaksiat…,” – Puteri Sarah Liyana

Share

Pelakon Puteri Sarah Liyana akui kesal dengan tindakan seorang pengguna Facebook yang menuduhnya melakukan maksiat sehingga nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap individu itu.

Menurut Puteri Sarah, peguamnya bakal menghantar Letter Of Demand (LOD) kepada individu berkenaan meski dikatakan dia sudah menukar nama dan gambar profil akaun media sosial miliknya itu.

“Dua hari lalu keluar cerita fasal bekas suami dengan isterinya. Saya tak kisah pun mengenai artikel itu tapi kadangkala ada pengguna platform Facebook yang seolah-olah begitu tersakiti dan menyimpan dendam dengan saya.

“Malah masih ada yang nak kaitkan nama saya sedangkan sudah setahun saya bercerai dan ‘move on’. Jadi tak perlulah nak kaitkan saya dengan pihak sana lagi.

“Setakat komen biasa saya okey lagi tapi bila ada yang menuduh saya bermaksiat saya tidak boleh terima. Saya rasa tuduhan yang dibuat agak melampau.

“Akaun itu pun tak berani tunjuk wajah atau nama sebenar, jadi saya ambil langkah mengantar mesej peribadi dan individu itu terus menukar gambar profil Facebook serta nama,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini menambah, dia meminta peguamnya itu untuk menghantar LOD kepada individu tersebut bukan sekadar menuntut permohonan maaf sebaliknya menjadi pengajaran kepada orang luar supaya berhati-hati ketika meninggalkan komen di media sosial.

“Saya ingin kejadian ini menjadi pengajaran kepada individu itu termasuk golongan lelaki yang mempunyai akaun Facebook supaya jangan terlalu melampau atau berdendam atas kejadian yang sudah terjadi setahun lalu.

“Bukannya saya bercerai dengan anda pun? Urusan saya dan bekas suami sudah lama selesai tapi kenapa anda masih tak puas hati dengan saya?

“Jadi tak perlu nak sindir atau tak puas hati tak tentu fasal. Kalau nak komen itu biarlah berhemah, jangan tiba-tiba nak hentam saya. Kadang mereka ini lupa diri bila meninggalkan komen,” katanya lagi.

Terdahulu Puteri Sarah memilih untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang menuduhnya melakukan maksiat atau bersekedudukan.

Puteri Sarah memaklumkan dia sudah mengesan individu berkenaan dan tindakan susulan peguamnya yang akan menghantar Letter Of Demand (LOD).

Sebelum ini, pelakon terbabit sudah mengheret beberapa individu ke mahkamah atas dakwaan fitnah termasuk seorang wanita membabitkan saman mencecah RM1 juta.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH