Hiburan

“Setelah Berbincang Dengan Fattah Amin…,”- Cari Jalan Telus Sebab Netizen Risau Infak Tak Sampai, Ini Respon Syarikat Kambing Perap

Share

Pihak syarikat kambing perap, Pak Mat Western tampil menjawab persoalan dan kerisauan orang ramai tentang pengagihan bantuan hasil infak daripada pelakon terkenal, Fattah Amin.

Menerusi satu hantaran di aplikasi Tik Tok, admin syarikat berkenaan memaklumkan kesemua hasil infak telah pun diamanahkan kepada beberapa pihak masjid untuk diserahkan kepada golongan sasar.

Jelasnya lagi, perkara ini juga telah mendapat persetujuan daripada Fattah sendiri.

“Pak Mat faham ramai yang risau. Ramai yang pertikai ‘kenapa tak beri dekat situ? Kenapa tak beri dekat sini?’ dan takut infak tidak sampai ke tangan sepatutnya.

“Setelah berbincang dengan Fattah Amin, ini salah satu jalan terbaik dan telus yang kami boleh buat,” tulinya.

Dalam pada itu, pihak syarikat juga percaya bahawa pihak masjid akan menjalankan tanggungjawab ini sebaiknya.

“In sha Allah, kami letak keyakinan dan amanah sepenuhnya pada masjid untuk agih pada asnaf,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Fattah telah menolak untuk menerima komisyen jualan daging kambing perap berjumlah RM90,000 sebaliknya diinfakkan kepada masjid yang terpilih.

Fattah berjaya menjual hampir 10,000 set kambing perap dalam tempoh tiga jam bersiaran langsung menerusi aplikasi TikTok.

Sepanjang tempoh itu, jumlah tontonan mencecah sebanyak 100,000 dengan meraih lebih 44 juta tanda suka.

Sementara itu, Fattah dalam laman sosialnya turut memaklumkan akan mengadakan satu lagi siaran langsung mempromosikan daging kambing atas permintaan ramai pukul 9 malam ini.

Kemunculannya dijangka disertai pemilik Pak Mat Western yang selama ini identitinya tidak diketahui ramai.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf