Setelah Lima Tahun Berhijab, Emma Maembong Sah Buka Tudung

Share

Setelah lima tahun mengenakan hijab, pelakon Emma Maembong akhirnya mendedahkan dia kini sudah tidak mengenakan hijab.

Difahamkan, ada peminat yang merakam dan bergambar bersama Emma tanpa dirinya mengenakan hijab

Seperti yang dipetik BH Online, pendedahan tersebut dibuat pelakon berkenaan sambil menyifatkan apa yang dilakukannya itu bukanlah contoh yang baik.

Malah Emma seperti yang dipetik turut menjelaskan, apa yang berlaku tidak kaitan dengan kontroversi melanda dirinya, baru-baru ini.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 27, selesa membiarkan keputusan yang dilakukan dengan berat hati itu ditanggung sendiri, memandangkan imannya masih belum kukuh.

“Apa juga alasannya, saya mengaku khilaf ini datang daripada diri sendiri. Soal dosa dan pahala itu biarlah antara diri ini dengan Tuhan. Selepas ini, saya harus telan segala kecaman dengan lapang dada.

“Untuk kita istiqamah dalam bertudung bukan perkara mudah. Pasti ada ujian yang menjelma. Jika tidak betul-betul bersedia, pasti terumbang-ambing juga iman diri. Ia (tindakan membuka tudung) bukan contoh yang baik dan jangan ikut saya.

“Cuma dalam tempoh bertudung itu, bukan saya tidak mencuba untuk membulatkan hati. Namun, saat saya tewas dan perkara itu tular. Hukuman bertalu-talu datang, tetapi saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Sementara itu, Emma turut mengakui dia cuba bermuhasabah dan memperbetulkan diri.

“Cara saya mengenakan selendang di leher dulu juga pantas dikecam netizen. Ada yang cakap, lebih baik bertudung penuh dan sempurna. Sedikit demi sedikit, saya mencuba untuk bertudung.

“Ketika itu, saya cuba bermuhasabah dan memperbetulkan diri. Selepas saya mula bertudung dulu pun, seperti biasa cara berpakaian dan mengenakan tudung itu juga terus mengundang kritikan. Semua benda bagai serba tak kena. Benar, susah untuk saya memuaskan diri orang lain.

“Saya seperti berperang dengan diri sendiri. Tetapi, saya lawan segala perasaan negatif. Namun, saat hanyut dengan kekhilafan diri, baru-baru ini. Saya terus dihukum seperti mempermainkan agama. Mereka yang memberi komen pedas itu pula seolah-olah mendapat jaminan masuk ke syurga. Malah ada yang cakap, apabila sudah ‘kantoi’, baru nak minta maaf. Saya akur, diri ini manusia biasa yang tak pernah sempurna,” jelas Emma.

Turut menafikan dirinya bertudung kerana melakukan perniagaan tudung, bintang tersebut turut berkongsi, agak berat bagi ahli keluarga menerima keputusannya untuk tidak lagi berhijab.

“Cuma, mereka akur dan tahu apa yang saya lalui selama ini. Mereka lihat dengan mata sendiri segala episod jatuh bangun dan ‘sakit’ saya menjadi anak seni.

“Mereka bukanlah menggalakkan saya tidak bertudung, tetapi dalam masa sama, berharap supaya suatu hari nanti saya akan kembali istiqamah,” katanya.

Sumber: BH Online

 

 

Published by
MH