“Saya lebih senang untuk melihat kejayaan mereka di depan mata.” Demikian kata pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal selepas ditanya mengenai pendidikan anak-anak.
Meski tidak menafikan menghantar anak-anak ke sekolah berasrama ada kebaikannya, namun bagi Aeril, momen melihat sendiri perkembangan empat anak iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 11, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 9, Ayya Soffya, 4 dan Muhammad Fahri,2, menjadi pilihannya bersama Wawa.
“Kami percaya setiap pandangan ibu bapa itu berbeza, dan tidak nafikan ada banyak kebaikan bila hantar anak-anak ke asrama. Mereka mungkin boleh lebih fokus dalam pelajaran dan sebagainya.
“Namun buat masa ini, kami lebih memilih untuk melihat membesar di depan mata. Apa pun saya menghormati pendirian para penjaga. Masing-masing ada cara dalam memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak,” kata Wawa.
Wawa dan Aeril ditemui pada Majlis Pelancaran CoolBlog x Wawa Cosmetics di Fahrenheit Bukit Bintang, pada Sabtu.
Bagi Aeril pula, meski sibuk menguruskan bisnes dan kerjaya seni, namun dia ada cara tersendiri untuk tetap mengisi masa bersama anak-anak.
“Sebagai bapa sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Walau sibuk macam mana sekali pun, saya memang akan cuba ambil masa menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari.
“Jam 6.30 pagi saya sudah hantar mereka ke sebab memang mahukan momen itu bersama-sama, walau boleh saja minta pembantu yang hantarkan.
“Bila anak-anak semakin besar dan mula nak berdikari, sudah tentu situasi itu tidak akan berlaku lagi. Jadi saya tidak mahu lepaskan peluang yang ada.
“Jadi ketika inilah juga kami ambil waktu untuk saling berbual di antara bapa dan anak-anak. Berkongsi apa saja, termasuk dalam hal berkaitan pengajian,” katanya lagi.
Sementara itu, kerjasama bersama jenama minuman terkenal itu yang baru sahaja memperkenalkan enam produk baru berasaskan Epal, bukan sahaja sinonim dengan kesegaran tetapi juga kecantikan.
Menggabungkan dua elemen berbeza seperti kecantikan dengan pencuci mulut, CoolBlog x WAWA disatukan untuk mencipta pengalaman yang berbeza dan ikonik.
Melalui kempen yang membawa mesej ‘Self-Love’ dan ‘Love From Inner Beauty’ ini, Wawa percaya setiap individu patut merasakan kecantikan dan keistimewaan mereka yang tersendiri.
Setiap dua pembelian produk terbaharu CoolBlog, pembeli berpeluang mendapatkan produk Wawa Butter Liptint yang terdiri dari 6 warna menarik untuk tempoh yang terhad.
Malah melalui Touch ‘n Go CoolBlog Mini App, setiap pembelian Apple Fantasy juga memberi anda peluang untuk memenangi set hadiah eksklusif produk kecantikan dari Wawa yang bernilai RM200.