“Setiap Orang Ada Jalan & Rezeki Masing-Masing,” – Tak Anggap Sebagai Pesaing, MK K-Clique Bangga Dengan Pencapaian Force Park Bois

Share

Rapper yang juga merupakan anggota kumpulan, K-Clique, MK menyifatkan kemunculan grup baru, Force Park Bois bakal menyerikan lagi industri muzik hip-hop tempatan.

Menurut MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, dia akan sentiasa menyokong mana-mana grup atau penyanyi yang ingin memartabatkan muzik hip hop ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya tak anggap kehadiran mereka itu sebagai satu persaingan tetapi lebih kepada melahirkan suasana yang sihat untuk industri muzik hip hop ini terus hidup.

“Mungkin sekarang K-Clique agak senyap dan ini masanya untuk Force Park Bois pula menyinar. Bila mereka muncul dan memartabatkan muzik hip hop, alhamdulillah, saya percaya industri ini akan lebih meriah,” katanya kepada MH.

MK berkata sedemikian saat ditemui di majlis pra tonton pengenalan filem, Rompak yang berlangsung di ibu kota pada Rabu.

Ketika ditanya adakah K-Clique berasa tercabar dengan kehadiran grup yang berasal dari Johor Bahru ini, MK menjelaskan setiap pihak punyai jalan dan rezeki mereka yang sudah pun tertulis.

“Setiap grup itu ada jalan mereka sendiri. Rezeki pun Allah dah tetapkan untuk diri masing-masing. Alhamdulillah, mereka juga dah sampai ke tahap yang mereka inginkan.

“Saya juga turut bangga dengan pencapaian mereka lebih-lebih lagi bila mengangkat muzik hip hop ke tahap yang lebih tinggi. Tahniah saya ucapkan buat mereka.

“Untuk K-Clique pula, kami juga akan tetap teruskan dengan perjalanan muzik kami. Visi kami juga sama untuk menaikkan nama muzik hip-hop ini,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Force Park Bois telah mencipta sensasi menerusi single mereka yang berjudul Lotus yang kini telah meraih lebih 16 juta tontonan di Youtube.

Dalam pada itu, MK turut mengakui karier muziknya ketika ini berjalan dengan agak perlahan memandang dia kini harus memberikan sepenuh perhatian terhadap projek lakonan.

Malah, bintang asal Sabah ini turut merasakan tempoh pandemik ini bukan waktu yang sesuai untuk melancarkan lagu-lagu baru.

“Untuk muzik MK sendiri mungkin agak ke belakang sikit tetapi muzik saya bersama K-Clique masih lagi menjadi keutamaan.

“Pada pendapat saya, dalam keadaan sekarang ini, untuk keluarkan single baru agak tidak sesuai. Saya ini sejenis performer yang suka buat persembahan secara langsung.

“Saya seronok bila ada crowd atau dapat jemputan untuk menghadiri program-program luar. Dengan keadaan sekarang yang hampir pulih, InsyaAllah akan ada perancangan yang menyusul.

“K-Clique juga akan terbitkan album pertama kami pada tahun ini. Segalanya masih lagi dalam proses pembikinan,” ujarnya lagi.

Selepas membintangi filem, Marabahaya Underground, MK bakal muncul menerusi filem terbaru yang berjudul Rompak.

Jelas MK, dia berasa amat bertuah kerana diberikan kesempatan untuk berlakon bersama pelakon-pelakon hebat seperti Zizan Razak dan Tony Eusoff.

Filem ini bakal memulakan sesi pengambarannya pada bulan Februari dan dijangka akan siap pada Jun ini.

Rompak bakal menjadi filem pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mengetengahkan konsep ‘Non-Fungible Token’.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf