Hiburan

Shahir Zawawi Rancang Pindah Ke Arab Saudi, Mahu Bergantung Sepenuhnya Pada Allah

Share

Penyanyi, Shahir Zawawi mendedahkan dia dan isteri pernah berpindah ke Medinah, Arab Saudi pada tahun lalu bagi memulakan fasa hidup yang baharu.

Bagaimanapun, Shahir terpaksa pulang semula ke tanah air berikutan keadaan bapanya yang kurang sihat.

“Selepas berkahwin tahun lalu, saya pernah ada cubaan untuk berpindah ke Arab Saudi. Malah, kami sebenarnya sudah pun berpindah dan duduk di Madinah.

“Namun, ada beberapa hal yang membuatkan saya terpaksa kembali ke Malaysia dan antaranya adalah keadaan bapa saya yang tak berapa sihat.

“Ketika awal-awal berada di dalam industri, saya bercita-cita besar dan buat macam-macam perancangan untuk kembangkan kerjaya.

“Namun, bila sudah semakin berusia, saya terima sahaja apa yang Allah berikan,” katanya kepada MH.

Jelas Shahir, dia kini masih lagi memenang harapan untuk kembali berpindah ke Madinah dan memulakan perniagaan di sana.

“Saya ada seorang rakan yang telah lama tinggal di sana. Jadi, saya rasa lebih mudah nak berpindah. Saya masih memasang hasrat untuk kembali ke sana.

“Kalau ikut hakikatnya, saya memang sengaja nak hidup di Madinah. Mengenai bisnes itu, ia sekadar untuk menyara diri. Takkan saya nak duduk sahaja.

“Lagipun, saya bukan warga negara sana nak duduk senang lenang. Harapannya adalah untuk dekat dengan Tanah Haram,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, hasratnya untuk berpindah ke Tanah Suci adalah untuk membersihkan hati dan meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT.

“Dahulu, saya ada pasang niat nak ke Mekah tapi Allah tak izinkan. Saya percaya di Mekah dan Tanah Haram ini, kalau tiada jemputan walaupun kita ada banyak duit, memang tidak akan sampai.

“Saya juga pernah diberikan tiket umrah percuma. Namun, bila terlalu sibuk dengan urusan dunia, saya terlupa nak tebus tiket itu.

“Bila berpindah ke sana, saya nak sucikan hati. Di dunia sekarang, saya merasakan kita terlalu bergantung kepada manusia. Bila buat sesuatu kita mengharapkan pertolongan manusia.

“Jadi, bila saya berpindah ke Madinah tanpa membuat perancangan, saya memang nak betul-betul meletakkan kebergantungan itu kepada Allah,” akhirinya.

Terdahulu, Shahir baru sahaja membuat kemunculan semula dengan melancarkan single terbaharu yang berjudul Aksara.

Juara Akademi Fantasia musim ke-8 itu juga kini bernaung di bawah syarikat pengurusan baharu, World Peace Entertainment.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf