Shahrol Shiro Throwback Kisah Berhenti Kerja, Doa Kejayaan Namie Dalam Industri; “Restu Ibu Bapa Jangan Lupa.”

Share

Keputusan anggota kumpulan UBI, Namie untuk meninggalkan kerjaya guru demi meneruskan minat sebagai anak seni nyata mendapat respon pelbagai daripada warganet.

Antara yang turut sama berkongsi pandangan mengenai isu ini termasuklah pelawak, Shahrol Shiro.

Menurut Shahrol, keputusan yang dibuat oleh Namie itu mengingatkannya kembali sewatu dia membuat keputusan melepaskan kerjayanya sebagai salah seorang pegawai di Jabatan Imigresen pada 2013.

Katanya lagi, setiap individu itu berhak untuk menentukan jalan hidup mereka sendiri.

“Sedang membaca artikel mengenai pendatang baru dalam industri komedi saudara Namie @namiesmy dari kumpulan UBI yang baru menjuarai MLS3 semalam.

“Tiba-tiba terlihat gambar lama di tepi meja sewaktu saya berkhidmat sebagai penjawat awam suatu ketika dahulu.

“Jalan yang sama dan saya telah sampai ke persimpangan itu dahulu. Antara kerjaya yang menjamin masa depan atau minat yang mungkin menjadi kerjaya tetapi tidak menjamin masa depan,” tulisnya.

Kisah tersebut dikongsikan sendiri oleh pelakon filem, Ustaz Mu Tunggu Aku Datang itu menerusi sebuah entri di laman Instagram.

Katanya lagi, meskipun ia bukan keputusan yang mudah, namun, dia tidak mahu hidupnya dihantui penyesalan

“Bukan mudah berada di persimpangan tersebut, ada suara yang menyokong dan ada yang membantah tetapi stereng itu ditangan kamu. Boleh kamu terus, belok ke kiri, ke kanan atau patah balik ke belakang.

“Bak kata sahabat saya, setiap orang pasti punya mimpi dan cita-cita. Sekuat apa pun kita cuba bunuh mimpi dan cita-cita kita, ianya tidak akan mati tetapi akan bangkit di usia tua dalam bentuk penyesalan,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Shahrol juga memberikan kata-kata seman selain turut mendoakan agar Namie akan terus sukses lagi selepas ini.

“Hidup ini tak lama, biar sampai kita menutup mata pastikan tidak ada apa yg kita sesalkan. Do what we love and Love what we do.

“Saya doakan beliau terus berjaya dalam apa jua yg ingin beliau kerjakan. Yang paling utama restu kedua ibu bapa dan jangan sesekali lupa pada yg maha esa. ‘Percaya Diri, Percaya Mimpi dan percaya Proses’,” akhirinya.

Semalam, Namie mengumumkan dirinya telah secara rasmi berhenti menjadi guru muzik dia sebuah sekolah kerajaan di Negeri Sembilan.

Namie yang menganggotai kumpulan UBI telah dinobatkan selaku juara Muzikal Lawak Superstar 3 dengan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM150,00 beserta trofi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf