Jarang muncul di kaca televisyen, pelakon Shahz Jaszle memaklumkan dirinya kini sibuk menjalani jadual penggambaran yang panjang bagi projek-projek drama.
Menurut Shahz atau nama sebenarnya Muhammad Shahrizal Jaszle Jasmin, dia amat bersyukur kerana sehingga kini namanya masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit.
“Sebenarnya, saya tidak pernah berhenti mendapat tawaran sebagai hero atau pelakon utama. Mungkin ramai melihat saya tidak muncul di kaca tv agak lama tapi sebenarnya tidak.
“Biasanya, kalau drama berepisod yang panjang, kita akan jalani penggambaran tiga hingga lima bulan,” katanya kepada MH.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Senyawa, baru-baru ini.
Katanya lagi, selain menjaga disiplin kerja, dia juga amat menjaga penampilan terutamanya untuk bersaing dengan pelakon-pelakon baharu.
“Dari segi relavan, saya perlu bersaing dengan pelakon-pelakon muda ini. Saya sedar usia saya tapi tidaklah tua sangat.
“Untuk kekal relavan, saya akan pastikan kesihatan dan kecergasan saya ditahap terbaik demi memastikan saya masih punyai nilai dan penampilan yang pihak penerbit mahukan.
“Ia tidak mudah. Saya juga percaya kepada rezeki masing-masing. Saya juga selalu berdoa agar rezeki tidak putus dan nama masih relavan.
“Saya juga sangat menjaga nama baik dan pastikan rekod saya bersih. Saya juga akan jauhkan diri daripada sebarang kontroversi tidak baik,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Shahz turut berpandangan kualiti lakonan juga memainkan peranan penting berbanding populariti seorang pelakon.
“Setelah hampir dua dekad dalam industri, kebanyakkan para penerbit atau pengarah memang sudah tahu kekuatan saya. Saya anggap itu sebagai rezeki.
“Mereka tahu kemampuan saya untuk bawakan watak-watak berat. Jadi, nama saya sentiasa ada dalam senarai.
“Kualiti lakonan juga memainkan peranan. Saya sentiasa percaya pada aspek itu. Dari segi populariti untuk orang muda, memang tak boleh dinafikan.
“Namun, para pelakon punyai nilai tersendiri. Tapi tiada masalah untuk pelakon lama bergandingan dengan pelakon baharu. Kita sama-sama boleh memberi,” akhirinya.
Terdahulu, Shahz bakal muncul menerusi drama terbaharu yang berjudul Senyawa.
Selain Shahz, drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Trisha Ooi, Siti Hariesa, Aleza Shadan dan Datin Nina Jurin.
Senyawa bakal ditayangkan bermula 25 Oktober ini, pada Jumaat dan Sabtu jam 9 malam di platform penstriman Iqiyi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.