Pelakon, Shasha Abedul mendedahkan dirinya pernah berhadapan dengan masalah depresi dan tekanan perasaan yang agak teruk sejak beberapa tahun yang lalu.
Lantaran itu, ketika diberikan tawaran untuk membawakan watak remaja yang mempunyai masalah tekanan mental dan emosi di dalam drama Projek; Exit, Shasha merasakan dirinya tidak seperti sedang berlakon.
Katanya, watak tersebut sememangnya menggambarkan situasi yang pernah dilaluinya sebelum ini.
“Saya belum sampai ke tahap mencederakan diri sendiri. Ia lebih kepada ganguan mental, depresi, keresahan dan serangan panik.
“Ketika tahun pertama tubuh badan saya diperkenalkan dengan perasaan tersebut, saya sendiri tak tahu apa yang sedang saya lalui.
“Saya kena belajar sendiri sampailah saya tahu bahawa diri ini sedang sakit. Bila saya dapat naskhah ini, saya merasakan Allah seperti sudah mempersiapkan diri saya lebih awal untuk lebih memahami watak ini,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, Shasha turut mendedah dirinya telah pun mendapatkan rawatan daripada pakar terapi dan psikiatri untuk mengatasi masalahnya itu.
“Saya memang ada jumpa dengan pakar terapi dan psikiatri hanya untuk menstabilkan emosi saya dan belajar lagi mengenai apa yang sedang saya rasakan ketika itu.
“Saya juga belajar cara-cara untuk mengatasi perasaan itu,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, dia juga telah diberikan perskripsi daripada pihak doktor untuk mendapatkan ubat-ubatan tentang penyankitnya itu.
“Selepas tahun ketiga, doktor ada memberikan saya perskripsi untuk ubat-ubatan tapi saya tidak ambil sepenuhnya. Saya tak nak.
“Pada masa masa, saya juga disiplin untuk berjumpa dengan pakar terapi. Jadi, ia seimbang untuk saya.
“Kita kena faham, psikiatri adalah doktor yang akan memberikan ubat. Manakala, pakar terapi pula akan duduk bersama dan bercakap tentang apa yang sedang kita rasakan. Ia dua perkara berbeza,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Shasha turut menyeru kepada semua pihak yang melalui masalah sama sepertinya untuk berjumpa dengan pihak pakar untuk mendapatkan bantuan.
“Bila sampai ke tahap ini, segalanya bergantung kepada kehendak individu itu sendiri. Pada saya, setiap masalah, ada jalan penyelesaian.
“Saya percaya, bila kita berjumpa dengan orang yang lebih faham mengenai masalah yang kita lalui terutamanya yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, itu adalah cara terbaik untuk kita sembuh,” akhirinya.
Terdahulu, Projek; Exit merupakan sebuah lagi drama terbitan Astro Originals di bawah francais ‘Projek Universe’.
Selain Shasha, drama yang mengangkat isu kesihatan mental ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Mierul Aiman, Kimberly Chuah, Nabila Huda, Naim Daniel dan ramai lagi.
Bahagian pertama siri ‘Project; Exit’ yang merangkumi episod satu hingga empat akan mula bersiaran pada 1 November ini secara sekaligus menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti box, Astro GO dan sooka.
Manakala bahagian yang merangkumi episod lima dan enam akan bersiaran pada 15 November di platform yang sama.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.