Shazani Zainal Tak Fikir Lagi Nak Sambung Belajar, Cadang Aktif Seni Dulu… “Tak Mahu Momentum Yang Telah Saya Bina Di Hero Remaja Berakhir Begitu Saja.”

Share

Penerima Anugerah Hero Favourite pada malam kemuncak Hero Remaja 2021, Shazani Zainal, 19 akui dia berpuas hati dengan prestasi serta perjalannya sepanjang menyertai pencarian pelapis baharu itu.

Meski tersingkir pada episod separuh akhir, namun peserta paling muda ini optimis mengharapkan yang terbaik sejurus persaingan selesai.

“Saya berpuas hati dengan segala keputusan juri meskipun tersingkir di peringkat separuh akhir. Persembahan para finalis lain sememangnya lebih baik berbanding saya.

“Sebenarnya, saya sendiri tidak menjangkakan yang saya akan bertahan sehingga minggu separuh akhir. Pada mulanya saya merasakan yang saya bakal tersingkir di episod pertengahan.

“Maklumlah saya peserta paling muda. Pengalaman pun tak banyak. Berada di episod semi-final pun saya dah bersyukur sangat. Saya reda dengan keputusan pihak juri,” katanya kepada MH.

Sementara itu, Shazani turut memaklumkan dia belum bercadang untuk menyambung semula pengajiannya dalam bidang Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus, Rembau kerana mahu beri fokus terhadap progres kariernya sebagai pendatang baru di dalam industri seni tanah air.

“Perancangan saya selepas ini adalah untuk terus fokus terhadap kerjaya di dalam industri seni. Bagaimanapun, saya akan tetap menyambung pengajian saya yang tertangguh cuma waktunya bukan sekarang.

“Saya tidak mahu momentum yang telah saya bina sepanjang berada di program Hero Remaja 2021 ini menurun dan berakhir begitu sahaja. Saya akan ‘masuk’ dahulu ke dalam cabang seni dan akan rancang bila saya akan menyambung pengajian selepas ini,” ujarnya lagi.

 

Jejaka asal Selangor ini berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media Finale Hero Remaja 2021 yang berlangsung di pejabat Nu Ideaktif, Shah Alam baru-baru ini.

Ditanya mengenai soal fizikal menjadi kelebihan buat dirinya untuk bersaing dengan para pelakon lain, Shazani menjelaskan ia sesuatu yang subjektif.

“Saya tak pasti sama ada hal rupa paras ini akan menjadi kelebihan atau sebaliknya. Soal rupa dan wajah ini sebenarnya sangat subjektif. Segalanya bergantung kepada rezeki juga.

“Terpulang kepada pengarah atau team produksi di luar sana untuk menilai mengenai pelakon yang mereka inginkan.

“Saya ingin masuk ke dalam dunia industri ini dengan segala bakat yang saya ada dan bukan hanya kerana rupa semata-mata,” akhirinya.

Terdahulu, Shazani telah mendapat undian tertinggi daripada peminat seterusnya menewaskan 11 peserta yang lain.

Pada malam finale tersebut, finalis Mierul Aiman telah diumumkan sebagai juara makanala Aqil Taqeeudin pula ditempat kedua.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh Fazziq Muqris dan Afiq Hamidon.

Published by
Aizam Manaf