“She Deserve Golden Buzzer For Her Talent,” – Aina Abdul Buat Kejutan, Lancar 2 Single Sekaligus!

Share

Selepas muncul dengan single Semalam pada Mac lalu, penyanyi yang kian meningkat naik namanya, Aina Abdul memberikan kejutan untuk peminat serta penggemar muzik tempatan.

Kembali dengan bua buah tangan terbaharu sekali gus, bintang itu muncul menerusi single Maybe dan Kelip-Kelip.

“Ini merupakan kejutan yang saya rancang untuk peminat yang selama ini tak jemu memberikan sokongan. Kedua-dua lagu ini mempunyai kisah tersendiri yang menarik untuk dikongsi kepada pendengar.

“Saya mula menulis Maybe dan Kelip-Kelip ketika awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Lagu-lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya saya dan ia menonjolkan sisi berbeza saya sebagai Aina Abdul.

“Jika sebelum ini menerusi Sumpah dan Semalam, saya mempertaruhkan lagu balada yang bernada perlahan, lagu Maybe dan Kelip-Kelip menjanjikan satu kelainan,” katanya.

Bercerita mengenai Maybe, ia mengisahkan mengenai cinta yang bertepuk sebelah tangan.

“Tajuk tersebut dipilih untuk menonjolkan keunikan lagu ini. Biarpun menggunakan tajuk dalam perkataan Bahasa Inggeris, lirik lagu ini ditulis dalam Bahasa Melayu.

“Proses menyiapkan lagu ini mengambil masa selama sebulan sahaja. Maybe mengangkat genre pop balada yang mengisahkan tentang cinta sebelah pihak.

“Di awal pembikinan lagu ini, saya hanya menyiapkan bahagian korus, tapi bersama proses kolaborasi dengan bakat muda, seorang produser bernama Affan, semuanya siap seperti yang dirancang.

“Lagu ini diberi judul Maybe, kerana si gadis yang merasakan bahawa dia tidak keseorangan dalam merasakan sesuatu terhadap jejaka pujaannya itu.

“Tetapi, sehingga akhir, dia tidak diberi jawapan apakah lelaki itu merasakan perkara yang sama. Maybe yes, Maybe not!” ujar Aina.

Seterusnya, lagu Kelip-Kelip yang mengambil inspirasi dari melodi lagu kanak-kanak popular Twinkle Twinkle Little Star pula membuatkan Aina keluar dari zon selesa.

“Kelip-Kelip bukan berentak balada tapi lagu rancak dengan penambahan koreografi, menjadikan ia satu pengalaman baru bagi untuk saya.

“Runut ‘Twinkle Twinkle Little Star’ menjadi tunjang idea saya sewaktu permulaan pembikinan lagu ini.

“Perbezaannya adalah persepsi lagu kanak-kanak itu ditafsirkan sebagai happy song dan dekat di hati kanak-kanak. Saya cuba twist idea dengan memasukkan elemen cinta dalam mengiring melodi Twinkle Twinkle Little Star itu.

“Idea lagu Kelip-Kelip adalah untuk menggambarkan situasi seseorang yang cuba untuk move on dari masa silam setelah dikhianati dalam hubungan percintaannya,” katanya lagi.

Muzik video Maybe dan Kelip-Kelip sudah pun boleh ditonton menerusi saluran YouTube Aina Abdul bermula semalam dan dua lagu tersebut juga sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital.

Meninjau ke ruangan komen muzik video yang dimuat naik, rata-ratanya memberikan respon positif seterusnya menyifatkan ia sebagai satu sisi baru buat penyanyi ini.

 

Published by
Rafiq Mazlan