Sementara itu, pemilik nama sebenar Sayyida Beevi M Shahul Hameed kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang sering melabelkan muzik dangdut sebagai irama murahan.
Bahkan, katanya, ada sebilangan pelapis baru ‘malu-malu’ untuk menyanyikan lagu-lagu berirama dangdut.
“Budak-budak sekarang bila kita ketengahkan lagu dangdut, semua malu nak ambil bahagian. Betul tak?.
“Tapi bila berkunjung ke pusat karaoke, mesti nak pilih lagu dangdut.
“Mungkin mereka rasa dangdut bukanlah irama yang bertaraf tinggi sebab selalunya orang kategorikan muzik dangdut ini sebagai murahan,” katanya.
Justeru, katanya, masyarakat hari ini perlu dididik untuk menghargai setiap karya sekali gus memartabatkan industri hiburan tempatan.
Pada masa sama, penyanyi lagu Sana Cinta Sini Cinta ini mengakui terkesan dengan penerimaan positif muzik dangdut dari Indonesia.
“Orang kita tak sedar dangdut adalah muzik Melayu dan Indonesia pun mengakuinya.
“Malulah bila kita sendiri tak nak perjuangkan irama muzik sendiri sehinggakan mereka turut sama-sama menaikkan lagu dangdut.
“Mereka (penyanyi Indonesia) bangga dengan irama Malaysia tetapi kita pula sampai nak kena sekat dan bersikap memilih bulu. Sayang lah kalau kita biarkan begitu sahaja,” tegasnya lagi.
Sheeda juga memberitahu bakal memeriahkan Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di Padang Awam Batu Anam, Segamat, Johor pada 14 Oktober ini.
Kata Sheeda, karnival sembilan hari bermula 6 Oktober ini turut dimeriahkan dengan
pelbagai aktiviti seperti sukan rakyat bersama bangsa Johor selain ada booth jualan daripada artis jemputan.
Terkini, Sheeda juga merancang melancarkan mini album, tidak lama lagi.
“Semuanya terdapat lima lagu, tapi kemungkinan besar saya akan melancarkan single demi single terlebih dulu,” katanya.