Penerbit dan pelakon yang turut beraksi di dalam drama rantaian, Leftenan Zana, Sheila Rusly memaklumkan produksinya tidak akan meneruskan sequel kedua drama berkenaan.
Katanya, meski drama lakonan Janna Nick dan Redza Rosli itu mendapat sambutan baik pencita drama Melayu dan ramai yang mahukan sequel keduanya, namun Sheila tetap dengan keputusannya.
Malah memetik Astro Gempak, Sheila mengakui perkara tersebut tidak akan berlaku.
“Ramai yang minta saya menerbitkan Leftenan Zana 2 dan Leftenan Zana Raya, tetapi itu tidak akan berlaku,” katanya yang akan menerbitkan drama ketenteraan lain bercorak pertempuran, tahun hadapan.
“Saya masih berbincang dengan pihak Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) dan akan ada naskhah baharu daripada JS Pictures Sdn. Bhd. yang lebih gah daripada Leftenan Zana.
“Genre drama ketenteraan sedikit berbeza dan lebih kepada aksi dan kombat. Namun, elemen percintaan masih diselitkan dan saya luaskan skop cinta itu kepada keluarga, negara dan agama.
“Sebenarnya sudah ramai yang menyerah diri untuk membintangi drama itu dan saya akan memilih pelakon yang betul-betul memiliki jiwa ketenteraan.
“Bukan datang set semata-mata nak bergambar pakai baju tentera,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Leftenan Zana arahan suaminya iaitu Azman Haji Yahya atau Jinggo itu turut dibintangi Tunku Hanis, Redza Rosli, Aprena Manrose dan ramai lagi.
Foto: Instagram Sheila Rusly dan Janna Nick