Penyanyi, Amylea Azizan dan suami, Mohammad Aqbar telah selamat melangsungkan majlis resepsi perkahwinan mereka pada Sabtu lalu.
Majlis yang berlangsung meriah itu turut dihadiri ahli keluarga, sahabat handai, rakan artis dan pihak media.
Antara rakan artis yang turut hadir termasuklah penyanyi yang juga merupakan sahabat baik kepada Amylea iaitu Shila Amzah.
Malah, Shila turut sempat berkongsi video kemeriah suasana majlis resepsi tersebut di akaun Tik Tok miliknya.
Bagaimanapun, kemeriahan majlis tersebut dicemari dengan kritikan seorang netizen di ruangan komen hantaran Shila itu.
Individu berkenenaan dilihat mempersoalkan tindakan Amylea kerana mengadakan majlis perkahwinan yang serba mewah termasuklah mengaitkan pemergian arwah bapanya.
“Baru-baru ini aku tengok Amylea ni minta bantuan ayah dia sakit. Alih-alih tengok dia nikah mewah pulak,” tulis individu tersebut.
Berang dengan tuduhan tersebut, Shila tampil membela sahabatnya itu dan menyelar komen yang ditulis oleh individu berkenaan.
“Itu fitnah. Bapa dia dah meninggal dah. Lain kali jangan main Facebook. Itu semua fitnah orang yang sakit otak.
“Sanggup guna gambar bapa dia time sakit untuk buat cerita bodo macam ini. Membabi buta percaya ni tak elok,” balas Shila.
Malah, penyanyi lagu Patah Seribu ini turut menyeru kepada semua pihak untuk tidak mempertikaikan rezeki orang lain.
“Kita sepatutnya tumpang gembira bila orang lain mengecap kebahagiaan. Banyak sangat main FB.
“Geram tahu bila orang yang suka percaya apa sahaja gosip atau berita yang dibaca atas talian tanpa mencari kesahihan berita tersebut.
“Yang dekat Facebook pun nak mencari duit dengan memfitnah orang lain. Memang biadap,” tulisnya lagi.
Sebelum ini, Amylea pernah meminta bantuan orang ramai supaya bapanya
mendapatkan rawatan segera di hospital swasta.
Doktor ketika itu menasihati Amylea agar membawa bapanya ke hospital swasta disebabkan wad penuh susulan
peningkatan kes Covid-19.
Untuk rekod, bapa Amylea iaitu Allahyarham Azizan Zainal Abidin, 62, menghembuskan nafas terakhir akibat
penyakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN), pada 11 Ogos 2021.
Pada 27 November lalu, Amylea memaklumkan dia sah bergelar isteri kepada Ash namun merahsiakan tarikh sebenar mereka bernikah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Shila Amzah