Pengurus kepada penyanyi popular, Shila Amzah yang dikenali sebagai Aini bagi pihak kepada artis berkenaan memohon maaf kerana tidak dapat memberi sebarang kenyataan terhadap hantaran ibunya, Fauziah Sarman berhubung gangguan orang ketiga atau penyondol.
Kata Aini menerusi aplikasi Whatsapp, pihak Shila turut memohon sedikit masa dalam menghadapi situasi ini.
“Saya Aini ‘personal manager’ kepada Shila. Minta maaf banyak-banyak, Shila tak dapat memberi apa-apa kenyataan buat masa sekarang. Beri Shila sedikit masa ya,” katanya ringkas.
Ditanya mengenai keadaan Shila, Aini berkata penyanyi Memori Tercipta itu berada dalam keadaan baik dan sedang mencuba untuk menjernihkan keadaan.
“Shila okay, alhamdullillah. Biasalah bila hal keluarga macam ini, Shila sebagai anak sulung kena ambil tanggungjawab selesaikan ini sesama keluarga,” katanya lagi.
Sementara itu, Aini menerusi mStar juga menjelaskan Shila juga belum bersedia untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.
Namun, akan mengulas mengenai pendedahan ibunya itu apabila keadaan sudah reda.
“Minta maaf banyak-banyak, buat masa sekarang Shila belum bersedia nak keluarkan apa-apa kenyataan.
“Insya Allah dalam masa terdekat apabila semua dah betul-betul stabil dia akan keluarkan kenyataan,” katanya.
Terdahulu, isteri kepada penyanyi dan pelakon lelaki era 80-an, ND Lala iaitu Fauziah Sarman memuat naik foto seorang wanita bersama kapsyen yang menimbulkan persoalan ramai.
“Penyondol…Siti Munirah Abdul Ghani ndlalaofficial,” tulisnya.
Fauziah bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas terhadap komen pengikutnya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini