Shila Tak Lihat Beza Umur Satu Masalah, Anak Panggil Ubai Dengan Gelaran Papa

Share

Selamat melangsungkan pertunangan pada Sabtu lalu, ramai pihak mendoakan yang terbaik buat penyanyi Shila Amzah serta tunangnya, pempengaruh media sosial, Ubai.

Membuka ruang pertanyaan di Instagram Story, Shila ditanya ramai warganet mengenai hal peribadinya malah salah satu soalan yang menarik ialah nama panggilan anak tunggal Shila iaitu Seth kepada Ubai.

Menjawab pertanyaan itu, Shila membalas ringkas anaknya memanggil Ubai atau nama sebenar, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, dengan panggilan Papa.

Selain itu, Shila juga berkongsi pandangannya berhubung persoalan mengenai kembali berteman selepas melalui hubungan yang pernah musnah sebelum ini.

Menurut Shila, perasaan takut itu pasti ada, namun dia cuba untuk memberikan peluang kepada dirinya untuk berasa gembira dan menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin.

“Ia adalah normal untuk ada perasaan takut (kembali berteman). Saya juga macam tu dulu.

“Orang macam kita perlukan banyak jaminan (untuk perkara seperti ini).. yang paling penting sekali jangan sabotaj diri kita sendiri.

“Izinkan diri kamu untuk merasa gembira.

“Kita tidak akan pernah tahu apa yang bakal jadi di depan.  Dengan berasa risau mengenai hal itu, ia tidak akan menjadikan sesuatu itu lebih baik.

“Hidup untuk bahagia hari ini sebab di akhirnya nanti, berdamailah dengan keadaan bahawa tiada apa di dunia ini untuk selamanya,” tulis Shila.

Selain itu, Shila turut berkongsi ‘tips’ buat mana-mana wanita yang bercinta dengan jejaka lebih muda daripada mereka tentang cara-cara untuk mengambil hati ibu bapa masing-masing agar hubungan direstui dan dipermudahkan.

“Macam mana Kak Sha (Shila) buat mak terima Ubai?  Teman lelaki saya muda daripada saya tapi ibu tak suka,” tanya peminat Shila.

“Pujuk la slowly dan teman lelaki kamu pun kena pandai main peranan ‘mengorat’ ibu kamu.

“Saya rasa kena yakinkan ibu awak yang umur itu bukanlah satu masalah.

“Kalau awak seorang sahaja yang pujuk memang penat.

“Ramai je bekas-bekas teman lelaki yang kena reject dengan ibu saya sebelum ini.. sekarang je okay sebab yang penting kita dapat pilih kebahagiaan sendiri dan bertanggungjawab dengan keputusan kita sendiri,” balas Shila.

Terdahulu, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Edraki Alias pada April 2018 namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila mereka disahkan bercerai pada Februari 2022.

Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Seth Uwais yang kini berusia empat tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar