Berita

Showcase Misha Omar Bakal Bawa Peminat Ikuti Perjalanan Seninya Sejak Mula Ikat Kontrak Jadi Penyanyi 22 Tahun Dulu!

Share

Penyanyi Misha Omar yang baru sahaja mengumumkan persembahan solonya hujung tahun ini depan nyata mengubat kerinduan peminat memandangkan kali terakhir penyanyi lagu Semoga Abadi itu tampil membuat persembahan di Istana Budaya, tiga tahun lalu.

Misha Omar Back To Basic Showcase itu bakal diadakan pada 21 Disember 2024 di Odeum at Jiospace, Petaling Jaya bermula jam 8.30 malam dan ia dilakukan di dalam sebuah persembahan yang eksklusif sebagai apresiasi buat peminat yang tidak pernah berpaling daripada mendukung lebih dua dekad karier seninya.

“Sebagai penghibur yang sudah dua dekad berada dalam muzik malah masih mampu kekal relevan, bohong jika saya katakan tidak punya mimpi mengadakan konsert besar-besaran.

“Mengapa persembahan ini dibuat dalam skala kecil dan bukan sebuah konsert mega adalah kerana saya suka untuk memulakan sesuatu dengan langkah kecil sebelum mencetak sejarah yang lebih besar.

“Ia juga saya adakan khas buat peminat yang sentiasa bertanya mengenai bila saya akan menghiburkan mereka secara langsung.

“Ironinya, saya sendiri seorang penyanyi yang juga tidak mementingkan soal sudah lama dalam industri maka perlu bikin konsert tapi lebih memilih melakukan kerja secara berperingkat.

“Mana tahu bermula dengan showcase berskala kecil ini, ia menjadi ‘pintu’ menuju konsert mega pada masa akan datang. Kita doa bersama,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai konsep showcase yang dianjurkan Double M Productions ini, Misha bakal menghiburkan peminat selama 90 minit dengan iringan pemuzik profesional.

Malah bintang berusia 42 tahun ini turut menggunakan khidmat Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal dan meletakkan tanggungjawab kepada pengarah muzik, Ayop Azril bersama sembilan pemuzik di bawah pimpinannya di dalam persembahan itu nanti.

Sementara Jennifer Thompson diberi kepercayaan selaku pengarah konsert dan Simon Khoo menggalas tugas pengarah teknikal.

“Alasan di sebalik pemilihan nama Misha Omar Back To Basic Showcase, ia seperti pulang kepada asas.

“Saya akan membawa peminat pulang ke saat seorang Misha Omar baru mahu mencetak nama sebagai penyanyi selepas pertama kali mengikat kontrak bersama syarikat rakaman besar pada tahun 2002.

“Bagaimana saya sangat menghargai momen menyanyi di pentas kecil seperti Planet Hollywood dan menyanyikan karya milik penghibur lain yang telah memberi saya kepercayaan dan inspirasi untuk terus berkarya.

“Selebihnya saya senang untuk merahsiakannya dahulu tetapi yang pasti kejutan luar biasa sudah saya siapkan buat peminat yang hadir, insya-Allah,” katanya lagi.

Tiket untuk showcase tersebut sudah pun mula dijual sejak 27 November lalu dan ia boleh dibeli menerusi platform Jiotix.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH