Selepas mencipta fenomena di Indonesia, penyanyi meningkat naik, Bernadya meneruskan siri konsert jelajahnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pertama kali mengadakan persembahan di Malaysia, Bernadya atau nama sebenarnya Bernadya Ribka Jayakusuma disambut meriah hampir 1,000 peminat setia di The Bee, Publika.
Tepat jam 9 malam, acara yang diberi nama Showcase Bernadya: Sialnya Hidup Harus Tetap Berjalan itu dimulakan dengan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.
Keadaan di dalam dewan bertukar gamat saat Bernadya naik ke atas pentas lalu memetik gitar dan mendendangkan lagu popularnya, Kini Mereka Tahu sebagai persembahan pembukaan.
Kemunculan Bernadya dengan gaun warna hitam di pentas mendapat sorakan peminat yang tidak sabar menyaksikan persembahannya pada malam itu.
Pada persembahan itu, Bernadya menghiburkan peminat menerusi rangkaian 11 lagu popularnya seperti Kita Kubur Sampai Mati, Siapnya Hidup Tetap Harus Berjalan, Ambang Pintu, Berlari, Lama-Lama, Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan, Terlintas, Satu Bulan dan Apa Mungkin.
Ketika ditemui media, Bernadya akui teruja menghiburkan peminat menerusi kunjungan pertamanya di Malaysia.
“Saya tidak menyangka sambutan yang sangat baik dari peminat di Malaysia.
Ternyata ramai yang dengar lagu saya di sini.
“Saya juga belajar banyak perkara baharu di sini dan pada pandangan saya, peminat di sini sangat mesra dan peramah,” katanya.
Pada masa sama, Bernadya juga mengakui lagu ‘healing’ yang dihasilkan juga berdasarkan pengalamannya sendiri.
“Kebanyakan lagu-lagu saya dihasilkan dari pengalaman saya sendiri. Malah, saya gembira kerana ramai yang boleh relate dengan karya saya ini.
“Justeru, saya berpendapat bahawa saya perlu menulis pengalaman itu dalam lagu,” katanya.
Lebih bermakna, kata pemenang Anugerah Muzik Indonesia 2013 itu ada seorang pencipta kandungan di media sosial mengakui lagu dihasilkan dapat membantu menyelamatkan dirinya dari melakukan perkara tidak diingini.
“Saya berasa sangat terharu kerana lagu saya, Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan dapat membantunya dari mencederakan dirinya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, lagu popularnya, ‘Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan’ telah mendapat 33 juta tontonan di YouTube sejak Jun lalu dan album terbaharunya juga sudah mencecah 100 juta pendengar di Spotify.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.