Penyanyi Syamel dan Ernie Zakri memaklumkan showcase mereka berdua yang sepatutnya dijayakan esok bersempena dengan minggu setia usaha di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya terpaksa dibatalkan.
Semuanya gara-gara pihak penganjur projek terbabit tiba-tiba menyepikan diri. Pasangan yang sinonim menerusi lagu Aku Cinta ini mengakui perkara tersebut ketika ketika ditemui pada majlis Rocketfuel Entertainment di The Bee, Publika pada Isnin.
“Kami ada bertanya dengan pihak Rocketfuel dan mereka pun mengesahkan showcase yang diberi nama An Afternoon of Elegance with Syamel & Ernie Zakri itu terpaksa ditangguhkan atas beberapa sebab tertentu.
“Tetapi kami tidak berani bercakap mengenainya kerana ia melibatkan soal undang-undang.
“Walaupun kami berasa sangat terkilan kerana persiapan sudah dilakukan dan masing-masing teruja untuk mengadakan acara yang besar sebegini. Tetapi semuanya bergantung kepada rezeki. Jadi kami fikir lebih baik biar pihak pengurusan sendiri yang memberi kenyataan berkenaan hal ini,” ujarnya seperti yang dipetik Kosmo.
Terdahulu, isu pembatalan persembahan mereka mula diperkatakan selepas sebuah artikel di akhbar tempatan ada melaporkan mengenai pihak penganjurnya, Nafis Global Resources Sdn. Bhd. tiba-tiba menyepikan diri. Malah, pihak terbabit turut didakwa gagal dihubungi.
Bagaimanapun, keduanya reda terhadap apa yang berlaku dan menyerahkan hal selanjutnya kepada pihak pengurusan.
“Sama ada masih menjalin kerjasama dengan penganjur yang sama atau tidak, itu kami tidak pasti. Sebab semua itu adalah bahagian pihak pengurusan untuk selesaikannya.
“Kepada peminat yang kecewa dengan berita ini, kami kesali kerana ia berlaku dan minta maaf kepada semua. Mungkin hikmah daripada kejadian ini nanti akan ada acara lain yang lebih besar untuk peminat, Insya-Allah,” kongsi mereka lagi.
Foto: Instagram Ernie Zakri
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI