Pelawak dan usahawan, Shuib memohon ramai untuk tidak memuat naik foto atau video isteri Allahyarham Isterinya, penyanyi Siti Sarah yang tidak menutup aurat di media sosial.
Bapa kepada empat cahaya mata ini turut memohon jasa baik agar tidak berkongsi hal kebaikan yang pernah dilakukan arwah secara berlebih-lebihan.
“Assalammualaikum semua, saya ucapkan jutaan terima kasih pada semua yang mendoakan Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, bidadari syurga saya.
“Tapi saya ada permintaan, di mana saya mohon pada semua untuk tidak mengeluarkan lagi gambar atau video arwah yang tidak menutup auratnya dengan sempurna.
“Saya juga mohon pada yang termuat naik di media sosial untuk keluarkan kembali video atau gambar tersebut.
“Dan saya juga mohon untuk tidak menceritakan kebaikan Allahyarhamah secara berlebih-lebihan,” jelasnya.
Shuib pada masa sama mendedahkan, adalah lebih baik untuk berserhana dan setiap yang dilakukan.
“Cukuplah kita bersederhana dalam setiap perkara dan perbuatan kita. InsyaAllah semoga kita diberkati dan dirahmati Allah SWT,” tulisnya lagi.
Sekadar info, Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat COVID-19 pada jam 5.13 pagi, Isnin lalu.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 1.20 tengah hari, pada hari sama.
Arwah meninggalkan suami yang juga pelakon dan pelawak popular, Shuib dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan secara pra-matang, minggu lalu.