Pelawak dan usahawan Shuib tidak mahu mempedulikan tuduhan segelintir netizen yang mendakwa dia ‘menunggang’ cerita berkaitan arwah isterinya, Siti Sarah yang telah pergi dijemput Illahi 9 Ogos 2021 lalu akibat jangkitan Covid-19.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 41, berkata, dia sudah kalis dengan kritikan melampau yang mendakwa dirinya sengaja menggunakan nama arwah untuk mendapatkan perhatian di media sosial.
Bagaimanapun, Shuib menjelaskan apa yang dikongsi berkaitan isterinya itu sedikit-sebanyak adalah untuk peminat mendoakannya selain mengambil apa yang baik terhadap apa yang dikongsikan.
‘Tunggang’ Bukan Isu Baru
“Isu ini bukan baru, setiap tahun perkara sama berulang. Kalau saya tak kongsi, orang kata saya lupa, tapi kalau saya kongsi, mereka tuduh saya menunggang.
“Ada satu ketika saya cuba untuk tidak berkongsi, iaitu pada hari ulang tahun dan hari kematian dia sebelum ini. Hati saya sakit dan terasa dengan cerita dan sikap orang seperti ini.
“Namun ada akhirnya, saya rasa saya pula menzalimi diri sendiri kerana terlalu ikut kehendak mereka. Cuma itulah, kadang-kadang rasa sakit hati sebab ada reaksi sebegini. Aku ‘post’ sahaja kau cakap aku tunggang.
“Jadi sekarang ini lebih senang untuk saya tak ambil peduli. Saya nak post, saya punya hal. Saya tak nak post pun saya punya hal. Akan tetapi sekiranya saya berkongsi mengenai arwah dengan niat supaya orang mendoakan, mengapa tidak. Itu sahajalah,” katanya.
Shuib berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Gempak Most Wanted Award 2024, pada Rabu.
Terharu Dengan Talita, Sokong Minat Anak
Dalam pada itu, Shuib meluahkan rasa terharu dengan tindakan anaknya, Talita, yang menyatakan hasrat untuk membersihkan nama keluarganya daripada menjadi bahan kritikan netizen menerusi satu siaran langsung di media sosial baru-baru ini.
Menurut Shuib, dia bangga dengan semangat Talita yang berjanji untuk tidak mengecewakan dirinya dan bercita-cita untuk menjadi seorang penyanyi hebat.
“Itu berlaku secara tiba-tiba, saya tak pernah ajar dia cakap seperti itu dan saya juga tak tahu perasaan dia terhadap saya macam mana.
“Sebagai bapa tentu saya sedih tapi bangga kerana dia anak yang ambil berat terhadap saya. Dia juga berjanji untuk menjadi penyanyi sebenar dan tidak akan kecewakan saya,” katanya.
Oleh yang demikian, Shuib menjelaskan fokus utamanya kini adalah memastikan anak-anaknya mendapat yang terbaik, termasuk dalam soal pendidikan, agama, dan kecenderungan minat masing-masing.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI