Pelakon, Fizo Omar mengakui dirinya amat menghargai jasa para petugas keselamatan yang selama ini bertungkus lumus memastikan negara berada dalam keadaan selamat terutamanya ketika berdepan wabak Covid-19 ini.
Menurut Fizo, tidak semua orang mampu melakukan pekerjaan tersebut lebih-lebih lagi apabila harus berkawal setiap hari dalam apa juga keadaan.
“Tak fahamlah dengan dieorng ni? Korang rasa mampu tak kalau kita berdiri di jalan raya tengah-tengah hujan panas bagai, bukan sekejap tau, satu shift lapan jam keje. Siap pakai uniform tebal juga wehhh. Kalau aku dah berkicap dah tu.
“Macam mana dieorng boleh tahan ek? Aku tak faham la. Malam tadi punya cerita balik dari Pahang untuk misi bantuan banjir, sampailah tol Kajang lebih kurang pukul 1 am. Kesian tengok dieorng ni kepenatan, lepak sekejap borak-borak dengan geng luar biasa ni. Ade la sedikit makanan share dengan dieorng bagi semangat nak bertugas,” tulisnya.
Kisah tersebut dikongsikan oleh bapa kepada seorang anak itu menerusi entri terkini yang dimuat naik di laman Instagram.
Jelas Fizo lagi, sewaktu dalam perjalanan pulang selepas menghantar barangan bantuan buat mangsa-mangsa banjir di Pahang, dia sempat meluangkan masa untuk bertanya khabar kepada para frontliner yang sedang bertugas di plaza tol Kajang.
Malah, Fizo juga turut berharap agar orang ramai dapat bertimbang rasa dan memberikan kerjasama yang baik sewaktu berhadapan dengan para frontliner ini.
“Macam-macam cerita weh, nampak je senang nak jaga roadblock, kita tahu ape kan. Bukan soal panas hujan jer, kalau aku kereta pancit tepi jalan sekejap je kita turun pun dah tak boleh tahan dah. Diorang ni ‘office’ dieorng kat tgh jalan raya. Bayangkan lah?
“So kadang-kadang tu dierng moody ke, tak ceria ke, cubalah kita faham situasi diorang and letakkan kita dekat tempat dieorng. Jgn tahu nak kondem dan viral kan je.
“Nak tolong jaga jalan Abe Joe tak boleh sebab Abe Joe takda uniform, hehehhe. Tapi insyallah ade rezeki lebih abam-abam frontliners Abe Joe akan payung lagi okay,” katanya lagi.
Menerusi ruangan komen rata-rata netizen meluahkan rasa yang sama selain turut menitipkan ucapan penghargaan kepada semua para petugas di barisan hadapan yang setia menjaga keselamatan negara.