Terharu atas penerimaan ramai ketika bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) lalu, penyanyi Ernie Zakri tampil memberikan dedikasi kepada semua menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di Instagram, pada Ahad.
Malah dia turut terharu apabila melihat video reaksi terhadap persembahan lagu Gundah di anugerah muzik tahunan itu di YouTube.
“Jangkaan untuk menang jauh sekali, tapi siapalah saya untuk menafikan rezeki malam itu. Alhamdulillah. Tiada kesalan, tapi lebih banyak lagi harus diperbaiki dalam persembahan itu,” tulis Ernie.
Dia pada masa sama turut mengharapkan sokongan serta kata-kata positif daripada peminat buat dirinya serta rakan lain.
“Inshallah, doakan saya, doakan rakan rakan lain yang turut sama berjuang bukan saja dalam #AJL35, tapi berjuang kerana mencintai bidang ini.
Hiburan bukan sekadar hiburan, inilah kerja kami. Sedaya upaya kami berikan untuk anda semua. Doakan yang baik baik. Inshallah. Semoga kita semua terus tetap semangat untuk menghiburkan! Aamin,” tulisnya lagi.
Meninjau ke ruangan komen, para peminat turut memberikan reaksi masing-masing selain menghargai bakat nyanyiannya.
Terdahulu, Gundah yang tulisnya bersama Sharon Paul bersaing bersama 11 buah lagu lain di AJL35. Ernie turut dinobatkan sebagai penerima trofi Anugerah Vokal Terbaik kali ini.
Foto: Instagram Ernie Zakri