Mengenai isu artis wanita yang membuka hijab semakin menjadi perbualan hangat di laman media sosial, MH sempat bertanya pandangan pelakon dan penyanyi, Erra Fazira mengenai isu berkenaan.
Terdahulu, pelakon Hingga Hujung Nyawa ini ditemui media pada pelancaran koleksi hijab eksklusif The Primadona Series Erra Fazira, baru-baru ini.
Lantas, bintang 45 tahun itu berkata, itu adalah antara ujian dari Allah buat para hambaNya.
“Yelah ujian masing-masing dan mungkin dari konteks pengalaman atau pun dari segi kematangan. Bagi saya, banyak faktorlah membuatkan ada di antara mereka yang mengambil keputusan sedemikian.
“Kita nak jatuh hukum? Saya tak suka pula nak menjatuh hukum sebab pastinya yang buat, mesti ada sebab tersendiri.
“Hanya dia dan Tuhan yang tahu dan dia buka tudung juga adalah kerana dia yang faham.
“Kita orang luar yang tak faham, dari sudut kita akan mempersoalkan kenapa tapi kita tak akan faham apa yang berlaku. Bagi saya, ia antara individu tersebut dengan Tuhan,” katanya jujur yag turut meminta peminat agar mendoakan yang terbaik buat semua.
Di samping itu, pelakon yang terkenal dengan filem Pasrah, turut menasihati netizen agar berhenti menghukum kesalahan orang lain.
“Saya rasa, manusia tak ada yang akan jahat selamanya. Jadi siapalah kita nak menghukum dia? Teruskan berdoa yang baik,” akhirinya.