Penyanyi Ifa Raziah tampil memberikan reaksi susulan dakwaan seorang ustazah yang mengaitkan ibadah umrah yang dikerjakannya sebanyak tiga kali meski tidak menutup aurat dengan sempurna sebagai tanda-tanda istidraj.
Menurut Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 47, walaupun kenyataan agamawan itu disifatkan secara umum namun dia merasa terpanggil untuk menjelaskan tentang perkara tersebut.
“Siapa orang itu nak letakkan saya ini istidraj. Dia tahu ke maksud istidraj? Jangan buat kerja tuhan.
“Setahu saya yang jahil dan seorang pendosa ini, istidraj itu adalah orang yang lupakan Allah SWT… nak sebut nama Allah pun ketat hati dia.
“Walaupun saya seorang pendosa tapi kehidupan saya lagi islam daripada mereka yang memakai tudung.
“Perlu ke saya nak tunjuk waktu malam saya bangun tahajud, perlu ke setiap kali solat saya buat live, perlu ke setiap kali saya belajar mengaji secara online saya buat live.
“Kalau saya ini tergolong dalam istidraj, saya tak buat perkara-perkara ini yang menjadi rutin hidup saya,” katanya ketika dihubungi MH.
Sebelum ini, menerusi sebuah video pendek memaparkan kenyataan Ifa tentang dijemput menunaikan umrah biarpun belum berhijab tular sehingga mencetuskan kemarahan ramai.
Selain itu, Ifa turut menjelaskan dengan kesenangan yang dimilikinya kini, dia boleh sahaja pergi ke mana-mana negara lain tetapi Allah telah menggerakkan hatinya untuk menjadi tetamu di Tanah Suci sebanyak tiga kali.
“Saya boleh pergi ke mana sahaja di dunia ini untuk bercuti.
“Tapi kenapa saya memilih untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW dan saya nak cuci dosa saya di Tanah Suci… sebab saya sangat suka ke Tanah Suci berbanding dengan negara lain.
“Di sana, saya boleh dekatkan diri dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Itu ke yang dinamakan istidraj.
“Saya pergi umrah dengan keinginan saya dan dijemput oleh Allah bukan kerana saya ada duit atau tidak… tapi atas jemputan Allah SWT.
“Kenapa manusia durjana ini semua nak pertikaikan kehendak Allah?
“Allah tahu saya belum bertudung tapi Allah jemput saya untuk belajar banyak perkara baru dalam hidup semasa membuat ibadah.
“Membuatkan saya lebih baik dari dulu dan banyak luangkan masa dekatkan diri dengan Allah,” katanya lagi.
Ifa mengakui dia sudah lali menerima pelbagai kecaman dan kritikan sejak bergelar anak seni bermula 26 tahun lalu.
“Memang saya tahu buka aurat tu berdosa besar dan benda (menutup aura) wajib. Dalam live pun saya sebut doakan saya baik-baik, InsyaAllah saya berubah ke arah itu.
“Tapi bila orang seperti saya yang jahil ini lagi seorang pendosa bagi komen, semua orang tak boleh terima apa pandangan saya.
“Terpulanglah hak masing-masing sebab hidup kita ini diberikan pilihan.
“Kalau orang suka pada saya, Alhamdulillah, kalau orang benci pada saya pun tiada masalah.
“Dipuji pun saya takkan terbang, dihina pun saya takkan tumbang,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Ifa Raziah