Penyanyi terkenal, Noraniza Idris menafikan terbabit dalam kemelut yang melanda projek Skim Rumahku Syurgaku (RKSK) anjuran pihak pemaju MRF Consultant (M) Sdn. Bhd.
Tegas Noraniza yang turut mesra disapa Kak Ani, dia tidak dilantik secara rasmi sebagai duta projek terbabit kerana tiada sebarang perjanjian hitam putih antara pihaknya dengan syarikat pemaju tersebut.
“Seingat saya, perkenalan kami adalah sekitar Ramadan lalu di sebuah majlis berbuka puasa. Saya diperkenalkan oleh rakan kongsi dari NIPV Management Sdn Bhd dengan individu daripada syarikat itu yang berminat untuk mempelawa saya untuk menjadi duta program kebajikan.
“Saya terbuka hati untuk menerima pelawaan itu secara lisan memandangkan saya sekian lama aktif dalam kerja-kerja kebajikan. Hasrat saya cuma nak tolong rakan-rakan artis veteran yang susah, tiada kerja dan tiada rumah,”katanya.
Noraniza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media khas yang diadakan di Hotel Royal Chulan, di ibu kota, malam ini.
Selain itu, Noraniza menyifatkan dirinya sebagai mangsa keadaan lantaran kerana perkenalan itu dibuat oleh rakan kongsinya.
“Selepas isu ini tular, saya yang berusaha mendapatkan penjelasan sebenar daripada pihak pemaju itu bagaimanapun ‘digugurkan’ daripada ‘perjanjian’ tersebut,”katanya.
Tambah penyanyi ini lagi, dia turut mengingatkan selebriti yang berminat dengan projek tersebut supaya mendapatkan maklumat terperinci skim itu supaya tidak ada perkara berbangkit di kemudian hari.
Artikel Berkaitan;
Noraniza Idris Jawab Dakwaan Tiket Cekik Darah; “Mahal Ke? Saya Rasa Macam Okay Sebab…”
“Saya juga berpesan kepada mereka supaya tidak membayar melebihi RM10 kerana wang tersebut akan disalurkan ke akaun peribadi pihak terbabit.
“Lagipun saya tidak mengetuai projek itu sebaliknya hanyalah pemudah cara kepada rakan-rakan artis,” ujarnya.
Terdahulu, difahamkan pemaju hartanah yang memperkenalkan skim Rumahku Syurgaku telah menawarkan rumah berharga RM500,000 kepada penggiat seni atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Noraniza kemudiannya ditampilkan sebagai duta Pelancongan Seni dan Budaya serta Pemegang Amanah menerusi skim yang disebut khidmat sosial amal jariah membantu ummah itu.
Mengikut perjanjian, penggiat seni hanya perlu membayar RM10 untuk urusan penyerahan unit kediaman dengan harga terbabit.
Namun, dakwa pihak pemaju, jika ada selebriti ingin mendapatkan rumah berharga RM1 juta, mereka hanya perlu membayar RM10,000.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI