Penyanyi Siti Sarah menjelaskan suaminya yang juga pelawak dan penyampai radio, Shuib bakal mengadakan sidang media bagi menjelaskan hal berkaitan susulan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram, awal Oktober lalu.
Siti Sarah bagaimanapun menjelaskan, ketika ini dia tidak boleh memberikan sebarang kenyataan terperinci berhubung perkara itu.
“Sebenarnya saya masih tidak boleh berikan sebarang kenyataan. Tapi, Insya-Allah dalam masa terdekat akan selesai.
“Sikit saja lagi. Kami akan buat sidang media termasuk pihak SPRM,” katanya.
Ditanya apakah yang boleh diperkatakannya apabila terkait mengenai hal tersebut, ini kata yang dikongsikan penyanyi Manis ini ;
“Sebenarnya tahun ini banyak mengajar saya erti sabar. Ia memang sabar yang luar biasa. Namun, saya sangat bersyukur kerana dalam apa keadaan yang terjadi tahun ini terhadap kami, tapi Allah meletakkan kita di tempat yang paling baik. Alhamdulillah.
“Dalam apa juga keadaan, kami sentiasa positif. Shuib seorang yang sangat tenang. Kami tahu di mana kami berdiri dan tahu dalam apa juga dilakukan, Allah ada bersama,” katanya.
Malah berikutan pelbagai spekulasi yang timbul, Sarah akui tidak mampu elak wargamaya daripada berkata-kata.
“Sebenarnya saya tidak boleh buat apa-apa mengenai orang yang buat spekulasi.
“Walaupun belum diberitahu apa-apa, dia sudah buat spekulasi sendiri, saya tak dapat nak buat apa-apa mengenai itu.
“Namun, mereka harus tahu sekiranya mereka tersalah bual ia sudah jatuh fitnah. Kalau sudah fitnah, dosa itu macam mana?” terangnya lagi.
Sarah ditemui pada majlis pelancaran single duet bersama Hazama, Terakhir Buat Teman yang turut menampilkan rakan penyanyi, Hazama.
Sementara itu, Sarah turut menyifatkan, apa yang berlaku membuatkan dia semakin kenal erti persahabatan.
“Dalam keadaan sekarang terutama apabila perkara ini terjadi, terus terang saya cakap saya tahu siapa yang betul-betul berkawan dengan kita sebab kawan atau dia dekat dengan kita sebab ada kepentingan. Perkara ini Allah tunjuk.
“Saya sangat bersyukur sebab Allah jadikan perkara ini. Mungkin untuk buat pembersihan juga pada orang sekeliling saya sebelum kita nak pergi lebih jauh,” katanya.
Terdahulu, pada 1 Oktober media melaporkan pasangan selebriti suami isteri itu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram.
Kemudian, syarikat rakaman dan pengurusan Indigital Music memaklumkan artis mereka, Siti Sarah hanya menemani suaminya hadir ke ibu pejabat SPRM.
Dalam satu kenyataan lain juga, peguam yang mewakili pasangan itu iaitu, Muhammad Fadhli M Sutris turut menafikan khabar angin anak guamnya itu ditahan reman SPRM.