Pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura mengesahkan memang berlaku kes pecah amanah di dalam syarikat perusahaannya seperti yang telah dilaporkan kepada pihak polis pada Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, Fazura enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut memandangkan ia masih lagi dalam siasatan.
“Ya benar. Memang ada kes pecah amanah dan ia sangat berat. Saya tak boleh nak komen panjang kerana segalanya masih dalam siasatan.
“Saya serahkan segalanya kepada pihak polis. Tidak lama lagi kita akan tahu dengan lebih lanjut,” tulisnya.
Jelas isteri kepada pelakon, Fattah Amin ini lagi, kes ini membabitkan beberapa orang pekerja dan jumlahnya juga agak besar.
“Saya bukan ingin mengaibkan sesiapa, sebaliknya, hal ini sudah melanggar undang-undang dan dikira sebagai perbuatan khianat.
“Apatah lagi ia bukan membabitkan satu kes sahaja sebaliknya melibatkan beberapa kes lain dengan individu yang berbeza,” ujarnya.
Fazura berkata sedemikian ketika ditemui di majlis perasmian butik dan tayangan perdana kempen hari raya FAZURA 2023 yang berlangsung di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam pada itu, Fazura turut menyifatkan kejadian ini sebagai satu pengajaran buat dirinya dan orang-orang di sekeliling.
“Saya memang agak sedih. Saya tak mahu menghakimi sesiapa. Ini pengajaran untuk kita semua.
“Bila bekerja dan tengok duit yang banyak, ada kalanya, kita jadi cepat tamak dan tak fikir masa hadapan,” katanya lagi.
Malah, dia juga akan lebih berhati-hati untuk mempercayai orang lain meskipun daripada kalangan orang-orang terdekat.
“Saya ada sifat yang sentiasa bersangka baik dengan orang. Rasanya itu silap saya tapi saya tak menyesal ada sikap seperti itu.
“Sejak akhir-akhir ini, saya kerap berhadapan dengan situasi seperti ini sama ada dengan pekerja atau kawan-kawan. Jangan mudah percaya orang terutama yang rapat dengan kita,” akhirinya.
Pada majlis yang sama, Fazura telah memperkenalkan koleksi-koleksi tudung dan Baju Kurung Pahang baharu bersempena kempen Hari Raya 2023.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.