Single Sulung Allahyarham Siti Sarah, Kesetiaan Pada Tahun 2002 Duduki Carta Nombor 1

Share

Berita pemergian usahawan dan penyanyi popular, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin masih dirasai oleh peminat muzik apabila single pertamanya iaitu Kesetiaan, kini menduduki carta pertama Lagu Strim Paling Tinggi di Malaysia untuk minggu ke-33.

Lagu tersebut sinonim dengan arwah, yang dilancarkan sekitar tahun 2002 iaitu penglibatan awalnya dalam dunia seni.

Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada Sabtu, lagu ciptaan komposer Ajai itu berjaya menduduki carta nombor satu selama dua minggu berturut-turut.

Malah, tiga lagi single Siti Sarah turut menduduki carta Top 10 sebagai Lagu Strim Paling Tinggi sepanjang 13 Ogos hingga 19 Ogos tahun ini.

Antara lagu yang distrim adalah single duet berjudul Semakin Benci Semakin Cinta nyanyian Siti Sarah bersama suaminya Shuib yang berada di tangga kelima dan Saat Hilang Cintamu yang berada di tangga keenam.

Manakala lagu Semakin terbitan Indigital Music pula di tangga kesembilan.

Siti Sarah yang juga isteri kepada pelawak, Shuib meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, (HCTM).

 

Published by
MH