2024 merupakan tahun yang agak sibuk buat penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila bakal mengadakan empat lagi siri konsert solo selepas sukses menerusi konsert ‘Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’, Mac lalu.
Menurut Siti, penganjuran empat konsert berskala mega yang akan berlangsung di Singapura dan Genting Highland itu bukan penanda dirinya akan meninggalkan dunia nyanyian dalam masa terdekat seperti didakwa segelintir pihak.
“Dalam hidup saya ini, saya menyanyi kerana bakat yang Allah berikan. Saya pun tahu bila sampai waktunya nanti, saya tidak akan berada di atas pentas selamanya.
“Saya juga ada matlamat dan perancangan yang ingin dilakukan di hari tua nanti.
“Namun, segala yang saya miliki ini merupakan kurniaan Allah. Jadi, saya belum mampu untuk beritahu bilakah umur dan masanya untuk saya akan berhenti,” katanya kepada MH.
Ditanya mengenai kepuasan yang masih ingin dicari sebagai seorang anak seni, penyanyi lagu Cindai ini memaklumkan dirinya sentiasa dahagakan ilmu baharu demi meningkatkan kualitinya sebagai seorang penghibur.
“Dalam hidup ini, tak kisah sama ada bergelar penyanyi atau pekerjaan lain, selagi kita melihat ada banyak peluang di hadapan kita, kita akan sentiasa menjadi orang yang ingin belajar lagi.
“Ada orang pernah bertanya sama ada saya suka buat persembahan biasa atau konsert? Pada saya, persembahan biasa ini memang mudah. Nyanyi beberapa buah lagu kemudian, selesai dan tak perlu berlatih berbulan-bulan.
“Tapi saya lebih suka buat konsert. Di situ, saya akan menguji kekuatan fizikal dan mental. Malah, saya akan menjadi orang yang lebih kreatif dan sentiasa mencari idea-idea baharu,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Siti tetap percaya usaha mencari pembaharuan dalam setiap karya membuatkan tidak jemu untuk menonton persembahannya walaupun menyanyikan lagu-lagu yang sama.
“Kalau ditanya kepada peminat sama ada mereka sudah bosan dengan persembahan saya, jawapannya pasti tidak. Mereka sentiasa nak tonton persembahan saya
“Walaupun saya menyanyikan lagu yang sama, saya akan berikan sentuhan baharu. Saya suka mencari pembaharuan dan hal itu yang membuatkan saya seronok,” akhirinya.
Terdahulu, Siti kini sedang giat membuat persediaan rapi untuk mengadakan konsert di Singapura dan Genting Highland yang kedua-duanya bakal berlangsung selama dua hari.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI