Meskipun memiliki reputasi besar sebagai penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan dirinya tiada masalah untuk turut serta membut persembahan di acara-acara festival muzik.
Menurut Siti, pelibatan di dalam festival muzik ini merupakan salah satu tanda sokongannya terhadap industri seni di negara ini.
“Ada masanya, Siti Nurhaliza pun perlu juga sertai persembahan di muzik festival. Di festival seperti ini, kita digabungkan dengan ramai artis.
“Penglibatan saya ini lebih kepada meraikan dan bersama-sama menunjukkan sokongan terhadap industri muzik tanah air.
“Lagipun, saya menerima pelawaan ini daripada sahabat baik dan suami saya juga sangat rapat dengan Air Asia. Kita pernah sama-sama berkolaborasi dalam bidang perniagaan,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Cindai itu berkata sedemikian ketika ditemui di sesi latihan untuk acara Loop Festival yang akan berlangsung Sabtu ini.
Katanya lagi, dia juga terbuka dan bersedia berbincang dengan mana-mana pihak penganjur sekiranya mereka mempunyai perancangan untuk menjemputnya di acara festival muzik pada masa akan datang.
“Kalau kena dengan caranya, in sha Allah saya akan terima. Saya pun melihat juga pelbagai sudut. Kalau tawaran tersebut tidak bertembung dengan persembahan besar saya, saya akan terima.
“Kebetulan pula saya ada masa sebelum mengadakan konsert di Singapura. Jadi, saya terima juga kerana kedua-dua vanue pun jauh.
“Jadi, untuk satu malam sahaja tiada masalah. Lagipun ramai artis dan saya bukan menyanyi sorang-sorang. Jadi, saya pun nak sokong dan tolong pihak menganjur,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Siti memaklumkan dirinya kini hanya mahu memberikan fokus terhadap dua konsert besar yang akan berlangsung di Singapura dan Genting Highland.
“Ketika ini, momentum, energi dan adrenalin konsert itu ada lagi. Saya suka kalau kita boleh terus bawa dan kekalkan para konsert-konsert seterusnya.
“Selepas konsert ‘Epitome’, kita ada konsert di Singapura untuk dua malam. Kemudian, selang dua bulan, saya ada konsert di Genting Highland pula.
“Jadi, fokus saya ketika ini adalah pada konsert sahaja. Alhamdulillah, saya boleh katakan 2024 ini merupakan tahun konsert. Kalau ikutkan, saya ada lima persembahan besar,” kongsinga lagi.
Ditanya mengenai persiapan mental dan fizikal menjelang dua konsert penting itu, ini jawapan Siti.
“Ketika konsert Epitome lalu yang berlangsung tiga jam, saya buat persediaan selama sebulan dari segi stamina dan tarian.
“Selepas ini, saya akan ke Korea dahulu dan bila pulang nanti, saya akan buat persediaan untuk konsert di Singapura.
“Jadi, latihan mental dan fizikal saya ini memang berterusan. Saya pun dah mula latihan di gimnasium dan muay thai agar tahap kecergasan saya dapat dikekalkan sampai bulan Ogos nanti,” akhirinya.