Siti Sairah Respon Isu Pernah Buka Hijab, “Saya Pun Buat Kesilapan Tu, Tapi Alhamdulillah Sekarang…”

Share

Pernah terpalit dengan isu membuka hijab, adik kepada penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Sairah mendedahkan apa yang pernah berlaku kepada dirinya sebagai asam garam kehidupan.

Malah, bintang yang pernah hits menerusi lagu ini kekal untuk mengharapkan doa ramai agar dia mampu menjadi wanita sebaik-baiknya pada masa depan.

Terdahulu, ibu kepada bintang Ceria Megastar Ministar, Ummi Ummairah turut kembali bergelar ibu Disember tahun lalu dan dikurniakan bayi perempuan hasil perkahwinannya bersama Mohd Sharidan Johari pada Februari 2018.

“Saya pun ada pengalaman sebegitu juga. (membuka tudung). Pada saya, saya tak boleh cakap apa-apa. Yang penting kita istiqamah lah. Saya pun buat kesilapan tu… tapi alhamdulillah sekarang saya kembali bertudung dan insyAllah doakan yang terbaik.

“Paling penting orang di luar sana, kita jangan blame mereka (buka tudung). Mungkin ada sebab tertentu yang kita tak tahu. Doa kalian itu yang membuatkan mereka akan berubah sedikit demi sedikit.

“Jadi, kita kena sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka,” katanya optimis seperti yang dipetik Majalah Nona.

Ditanya apa yang membuatkan dirinya mahu kembali istiqamah dan tanam azam, Sairah mengakui ia berlaku seiring status.

“Iyalah, kita ni bila dah berkeluarga kita taknak suami kita bertambah ‘beban’ dia. Jadi bila kita bertudung tu.

“Salah satunya adalah kerana sebagai umat Islam kita perlu bertudung. Kepada mereka yang buka tudung atau belum bertudung, kita doakan yang terbaik untuk mereka,” jelas Sairah yang turut menjelaskan dirinya begitu menyenangi penampilan yang ringkas.

“Saya seorang yang sangat simple. Selagi ada tudung yang macam menyenangkan, saya akan pakai. Saya jenis pakai yang sarung dan terus siap!

“Orang kalau follow IG saya memang tahu saya punya tudung macam mana. Sangat simple.Jenis material pilihan pula saya tak kisah. Yang penting senang dibentuk dan selesa. Macam chiffon… dan tudung bawal antara yang paling saya suka,” akui Sairah.

Pada masa sama, Sairah turut memilih kakaknya sendiri iaitu Siti Nurhaliza sebagai rujukan fesyen berhijab.

“Bila tengok Kak Iti bertudung, saya suka tengok. Tapi kita ni jenis yang simple, apa yang ada sarung je. Cara Kak Iti bertudung juga beri inspirasi dekat saya untuk pakai tudung yang dia pakai.

“Sejujurnya bila dapat berkumpul ramai-ramai dengan adik-beradik, kami memang suka berborak. Antara topik kami bila berjumpa ialah mekap. Kak Iti memang suka cerita bab mekap.

“Masing-masing ada minat sendiri tapi kami boleh kongsi berbual tentang apa saja. Jarang sekali ‘membawang’. Misalnya antara Kak Saida dan Kak Iti mereka akan lebih bercerita pasal kewangan sebab Kak Saida yang urus hal kewangan syarikat,” imbau Sairah.

Foto/Sumber: Instagram Siti Sairah/Majalah Nona

Published by
MH