Pada ulang tahun perkahwinannya yang ke 6, Shuib dan Sarah telah melangsungkan majlis persandingan setelah enam tahun menikah.
Benarlah kata orang, sebelum mempunyai kehidupan yang senang seperti sekarang, pasti akan melalui kesusahan terlebih dahulu.
Menganggap dirinya bertuah kerana dikurniakan suami seperti Shuib, Sarah sedar dia telah membuat keputusan yang tepat ketika menerima lamaran Shuib enam tahun lalu sehingga kini dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin.
Terbaru, menerusi akaun Instagram miliknya, Siti Sarah Raissuddin atau lebih dikenali dengan Sarah Raissuddin telah melahirkan rasa syukurnya dikurniakan seorang suami sebaik Shuib.
Dalam posting berkenaan, Sarah turut mengimbau detik-detik bersama sebelum dia mendirikan rumah tangga bersama Shuib.
Tambah Sarah, dia turut risau apabila Shuib tidak mempunyai kerja yang agak stabil pada ketika itu dan bersyukur kerana suaminya itu rajin mengusahakan sesuatu untuk mencari rezeki.
Walaupun ramai mempersoalkan keputusannya untuk disatukan dengan Shuib sehinggakan ada mulut-mulut yang mengatakan Sarah diguna-gunakan, Sarah hanya diam dan berkata dalam hati bahawa dia lebih mengenali Shuib berbanding orang lain.
Gambar yang dimuat naik itu juga turut mendapat respons daripada para peminat yang rata-ratanya memberi pujian dan mendoakan pasangan susah senang bersama ini hidup bahagia selamanya.
Sarah juga turut mendoakan tali perkahwinan mereka diberkati, dirahmati dan dipermudahkan dan berterima kasih kepada yang mendoakan mereka sekeluarga sejak enam tahun lalu.
Terdahulu, Shuib dan Siti Sarah meraikan ulang tahun ke-6 perkahwinan mereka dalam sebuah majlis persandingan gilang-gemilang yang diadakan di Bora Ombak Marina, Putrajaya. Majlis tersebut dihadiri rakan selebriti, keluarga, kenalan dan saudara terdekat.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI