Pempengaruh media sosial, Khairul Aming memohon maaf kerana tidak sempat untuk bertegur sapa dan melayan orang ramai yang ingin bertemu dengannya di pusat agihan bantuan banjir di Kelantan, semalam
Menurut Khairul Aming, situasi di pusat agihan bantuan seliaannya itu sangat sibuk berikutan keadaan mangsa-mangsa banjir yang sangat kritikal dan bantuan perlu dihantar dengan segera.
“Kepada semua orang yang datang hari ini, saya minta maaf sebab tak sempat nak bergambar. Mungkin ternaikkan suara atau reaksi saya sedikit kasar.
“Saya minta maaf. Situasi hari ini sangat kritikal. Ada orang yang sudah dua hingga tiga hari tidak makan.
“Ada bayi yang sakit kulit dan orang-orang tua yang sakit. Kita kena cepat dan laju. Jadi, saya nak minta maaf sebab tak sempat nak ambil gambar, tak sempat senyum atau cakap elok-elok,” katanya.
Perkara tersebut dijelaskan sendiri oleh Khairul Aming menerusi sebuah hantaran video di Instagram Stories.
Lantaran itu, Khairul Aming berharap agar semua pihak faham dengan situasi yang sedang alaminya saat ini.
“Diharapkan selepas semua situasi banjir ini tamat, kita jumpa, tegur, borak dan ambil gambar macam biasa.
“Team saya pun sudah banyak hari tidak tidur. Saya minta maaf sangat. Saya harap anda semua faham dan saya sangat hargainya.
“Terima kasih juga buat anda yang menyumbangkan barangan buat mangsa-mangsa banjir,” katanya lagi.
Terdahulu, Khairul Aming dengan inisiatifnya sendiri telah pun memulakan gerakan untuk membantu mangsa-mangsa yang terjejas disebabkan musibah banjir di Kelantan sejak beberapa hari yang lalu.
Gerakan tersebut kini dilihat semakin besar dan turut mendapat bantuan daripada ramai pihak.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.