Tahniah diucapkan buat hos, Dayah Bakar yang telah pun selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, pada jam 2.23 petang pada Isnin.
Bagaimanapun, kelahiran anak sulung itu tidak dapat disaksikan suami, Muhammad Hanif Hamidi yang ketika ini bertugas di Australia.
Memetik Berita Harian, Hanif tidak dapat kembali ke Malaysia berikutan penularan COVID-19. Beliau merupakan pegawai tentera berpangkat kapten yang berkhidmat di sana demi negara.
Bercerita mengenai perkara itu, pemilik nama lengkap, Nurhidayah Abu Bakar ini ada membuat panggilan video bersama suami bagi berkongsi perkembangannya, termasuk beberapa jam sebelum bersalin.
Terdahulu, Dayah yang selamat melahirkan anak mereka secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Damansara Setia, Petaling Jaya, ditemani ibu tersayang, keluarga kedua-dua belah pihak dan anak saudara.
“Sebelum ini, saya fikir, pengalaman ini dapat dikongsi bersama suami di mana kami sama-sama meraikan kelahiran anak sulung. Namun, kita hanya mampu merancang, Tuhan menentukan.
“Siapa mampu menduga. Ujian Allah memisahkan saya dan suami sekian lama. Namun, dengan doa yang tidak pernah terputus dan kekuatan yang diberi Allah, saya berjaya melaluinya,” jelasnya.
Dayah pada masa sama turut menyifatkan dirinya bertuah kerana tetap mendapat sokongan insan tersayang sepanjang proses melahirkan.
“Sokongan suami dari kejauhan luar biasa. Begitu juga keluarga saya dan sebelah mentua yang selalu ada di depan mata.
“Biarpun suami tidak dapat melihat dekat perkembangan anak, pasti besar ganjaran Allah berikan untuk setiap ujian dan kemanisan ini,” katanya lagi seperti yang dipetik.
Sementara itu, Dayah turut memberitahu dia akan berkongsi wajah serta nama anak kesayangannya itu selepas tujuh hari
“Alhamdulillah, semuanya lancar dan dipermudahkan. Insya-Allah, foto dan nama anak akan saya kongsi selepas tujuh hari,” katanya.
Dayah mendirikan rumah tangga dengan dengan Muhammad Hanif pada Jun 2018.
Sebelum ini menerusi Instagram, Dayah turut menyatakan dia dan anak yang baru dilahirkan berada dalam keadaan baik.
“Allahuakbar alhamdulillah. Saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada jam 2:23pm tadi.
“Both mommy and baby doing fine alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kami .
“Sehingga saat ini, saya masih tak percaya that little bb is already out . Macam mimpi . Indescribable feeling masha Allah,” tulisnya.
Foto: Instagram Dayah Bakar