
Rangkaian pasar borong dan runcit ST Rosyam Mart meletakkan sasaran hasil jualan sebanyak RM2 bilion bagi tahun ini melalui lapan cawangannya di seluruh negara.
Sasaran ini disokong oleh prestasi jualan memberangsangkan pada tahun lalu yang mencatat RM1.4 bilion.
Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Rosyam Nor, yakin matlamat ini boleh dicapai dengan konsep pasar raya yang memenuhi keperluan seisi keluarga.
“Saya optimis sasaran itu boleh dicapai. Kami juga memperkenalkan sistem pandu lalu pengambilan barang pesanan kepada pelanggan yang membuat pembelian secara dalam talian.
“Kami mempunyai impian yang besar. Setakat ini kami mempunyai lapan cawangan Rosyam Mart termasuk sebuah Rosyam Mall. Bersama ST Group juga kita mempunyai Sri Ternak dan dua pasar raya kita terletak di Sri Kembangan dan Selayang.
“Alhamdulillah untuk pengetahuan, jualan kami tahun lalu mencapai RM1.4 bilion. Jadi tahun ini, menerusi pembukaan ‘mall’ ini, kami target pertambahan jualan sebanyak RM2 bilion.
“Situasi ini menguatkan semangat kami untuk berada menjadi sebagai antara jenama yang besar, menerjah ke pasaran yang lebih luas, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan baharu ST Rosyam Mart di Jalan Kebun, Shah Alam, baru-baru ini.
Buka ‘Mall’
Mengorak langkah, pembukaan Rosyam Mall yang terletak di atas tapak seluas 114,000 kaki persegi, telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Rosyam menjelaskan, pembukaan cawangan ini adalah bukti komitmen syarikat dalam memastikan pelanggan memperoleh barangan segar dan berkualiti pada harga yang berpatutan.
Cawangan ini dijangka menarik lebih ramai pelanggan dengan kepelbagaian produk dan kemudahan yang disediakan, sekaligus mengukuhkan jenama ini dalam industri peruncitan tempatan.
Dalam perkembangan lain, Rosyam turut meluahkan rasa bangga apabila ST Rosyam Mart tersenarai dalam Asean Records.
Ia susulan pencapaian sebagai Pasar Raya Borong dan Runcit 24/7 Pertama di Asia Tenggara yang inovatif dalam menawarkan 21 perkhidmatan awam percuma, termasuk kemudahan pandu lalu yang mesra pelanggan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI