“Suami Buat Solat Sunat Dan…,” – Mengapa Noraniza Idris Terbuka Hati Sertai GV? Ini Jawapannya

Share

“Saya dinasihatkan untuk tidak melihat kritikan negatif.” Itu reaksi salah seorang peserta Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7), Noraniza Idris apabila ditanya sejauh mana persediaannya untuk berdepan kecaman netizen sejurus minggu pertama bermula 11 Oktober depan.

Katanya, dia mengambil pendirian tersebut kerana tidak mahu perkata itu mengganggu emosi sepanjang pertandingan.

“Ia boleh ganggu emosi. Bagaimanapun, kritikan yang membina saya akan ambil, yang negatif saya elakkan untuk baca.

“Saya mudah dipengaruhi dan bila bacanya di media sosial misalnya, akan rasa sedih.

“Saya percaya orang akan hentam, keluarkan cerita lama dan sebagainya. Jadi lebih baik untuk tidak ambil pusing,” katanya.

Bersikap terbuka menerima komen daripada juri profesional selepas ini, penyanyi senior yang cukup sinonim dengan lagu Irama Malaysia ini turut mendedahkan, keputusannya untuk bertanding tidak dibuat dalam masa singkat.

“Untuk terima komen daripada juri profesional saya tiada masalah. Mereka tahu apa yang mereka buat dan saya percaya reaksi mereka selepas kita selesai buat persembahan adalah untuk mendidik.

“Jujurnya juga, saya sebelum ini memang katakan tidak untuk sertai program ini meski sudah beberapa tahun pihak produksi ada pelawa untuk bertanding.

“Sehinggalah pada hari terakhir pengesahan, akhirnya saya bersetuju.

“Malah suami turut buat solat sunat dan dia beri keizinan selepas beberapa persoalan dijawab dengan baik pihak pengurusan, Mind Order.

“Setelah berbincang dan dipujuk mereka, saya terbuka hati kerana diberikan motivasi. Mereka minta saya bukakan minda, pandang ke depan selepas menyertai GV.

“Saya pernah masuk pertandingan nyanyian dan sedia tahu akan tekanan yang bakal dihadapi apatah lagi bakal menyanyikan lagu yang belum pernah dinyanyikan.

“Cuma saya lebih selesa meletakkan ia bukan sebagai pertandingan, tetapi sebagai satu program persembahan.

“Malah saya sendiri akan ikuti kelas vokal yang disediakan pihak pengurusan,” katanya yang turut mendapat sokongan daripada anak-anak.

Noraniza ditemui pada sidang media memperkenalkan 14 peserta program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh di Envi Skydining, Aras 36, Menara Ta One, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada Selasa.

 

Published by
Rafiq Mazlan