Pelakon, Sharnaaz Ahmad mendedahkan dirinya tiada kuasa untuk menghalang tindakan segelintir peminat yang menyunting video-video mesranya bersama bekas isteri, Noor Nabila.
Bagaimanapun, Sharnaaz memohon jasa baik semua pihak untuk menghormati status Nabila sebagai isteri orang.
“Saya pun baru sahaja perasaan video-video tersebut. Saya ada tengok juga. Dah pihak tersebut yang nak sunting video berkenaan, saya tak boleh nak cakap apa-apa.
“Takkan saya nak marah pula. Nanti, mereka persoal dan marah saya balik sebab itu hak mereka,” katanya kepada MH.
Katanya lagi, perkara seperti ini berkemungkinan boleh mengguris hati suami kepada Nabila.
“Kita kena sedar juga yang Nabila itu masih lagi berstatus isteri orang. Walau macam mana anda berdoa sekali pun, anda berdoa untuk meruntuhkan masjid.
“Pada saya, perkara ini memang tak elok. Melainkan kalau mereka itu memang sudah tidak berhubungan lagi.
“Kita kena fikir sensitiviti suami dia juga. Suami dia ada perasaan dan bukannya robot. Kita kena fikir logik.
“Saya tak salahkan orang-orang yang mendoakan kerana mereka doakan yang baik-baik. Mereka bukan doakan kami mati. Saya berterima kasih tapi sensitiviti tetap kena jaga,” ulasnya lagi.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media filem Polis Evo 3 yang berlangsung di sebuah premis acara di Petaling Jaya pada Khamis.
Dalam pada itu, Sharnaaz turut memaklumkan dia dan Nabila akan terus berusaha menjadi ibu bapa yang terbaik buat anaknya, Jebat Jayden.
“Terima kasih kerana masih ingat saya dan Nabila. Saya sudah tiada marah atau dendam dengan Nabila. Perkara itu sudah lama berakhir. Kami sudah buang perasaan itu.
“Ketika ini, kami adalah satu pasukan untuk sama-sama besarkan Jebat supaya dia tak perlu rasa yang kami ini sudah bercerai. Malah, dia tak pernah tahu pun sebab dia belum faham.
“Secara logik, dia tahu yang dia ada seorang lagi ayah iaitu suami kepada Nabila. Namun, kalau dia perlukan apa-apa, dia tetap akan bagitahu saya.
“Dia tahu posisi saya kerana sosok seorang bapa kandung itu tidak pernah hilang. Ini adalah satu perkara baik,” katanya lagi.
Terdahulu, Sharnaaz bakal membawakan watak antagonis bernama Reza di dalam filem Polis Evo 3.
Selain Sharnaaz, antara muka-muka baharu yang membintangi filem ini termasuklah Syafiq Kyle, Feroz Khan dah Fauzi Nawawi.
Masih mengekal dua hero utama iaitu Zizan Razak dan Shaheizy Sam, Polis Evo 3 arahan pengarah terkenal, Syafiq Yusof bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermua 25 Mei ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.