Boleh dikatakan tahun 2023 merupakan milik selebriti versatil, Elly Mazlein.
Masakan tidak, pelbagai tawaran kerja datang menerpanya sehingga membuatkan dirinya kini sibuk dan laku keras sehingga penghujung tahun ini.
Mengulas mengenai penerimaan suami, Elly menyatakan dia berasa cukup bertuah dikurniakan pasangan yang sangat memahami kesibukan kerjanya.
“Jadual saya sampai hujung tahun 2023 dah penuh! Alhamdulillah, rezekikan. Saya tak kisah, berlakon ke mengacara ke atau menyanyi, semua itu sumber pendapatan. Saya terima dan susun sebaiknya.
“Suami saya seorang yang sangat memahami tugas saya serta memberi sokongan penuh atas perjuangan saya ini.
“Lagipun suami saya tidak pernah mengadu apa-apa pun.
“Sejujurnya, ada masa saya rasa penat juga, namun bila kita terima respons yang positif daripada peminat kita, ia jadikan kita bersemangat untuk memberi lebih lagi,” katanya kepada MH.
Berkongsi lanjut mengenai tips rumah tangganya dengan suami, Elly berkata komunikasi merupakan kunci utama kepada keharmonian hubungan mereka.
“Bagi saya komunikasi itu penting dalam sesebuah hubungan untuk kekal stabil dan kukuh.
“Saya dan suami, kami akan sentiasa berkomunikasi berkenaan semua perkara yang berlaku kepada diri kami.
“Perbincangan setiap hari itu penting bagi kita untuk kekalkan hubungan yang kuat dan harmoni,” katanya lagi.
Terbaharu, Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 43, bakal menggalas tugas sebagai pengacara program Big Stage 5 yang akan memulakan siarannya pada 7 Mei ini.
Untuk info, Elly berkahwin dengan seorang guru, Mohamad Azlan Che Nuh, 33, pada 18 Januari 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Haider Mateen yang kini berusia dua tahun.
Elly turut mempunyai seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia, 8, menerusi perkahwinan terdahulu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.