Hiburan

“Suami Seorang Yang Manja,” – Jeslina Hashim Makin Bahagia Lepas Berkahwin, Kekok Dengan Gelaran ‘Che Puan’

Share

Penyanyi dan pelakon, Che Puan Jeslina Hashim akui dirinya kini lebih gembira selepas kembali mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Tunku Eddy Nasruan Adi.

Menurut Jeslina, dia kini sibuk menguruskan keluarga lebih-lebih lagi apabila anak-anak sudah semakin membesar.

“Kehidupan saya kini sangat gembira. Perkahwinan pun belum masuk setahun lagi. Saya kini sibuk menjaga suami. Dia seorang yang sangat manja.

“Anak-anak pula sudah semakin membesar dan mereka sibuk dengan peperiksaan. Jadi, saya bantu mereka dalam pelajaran. Mereka juga rancak dengan aktiviti sosial dan sayalah yang jadi pemandu mereka.

“Seronok bila jadi isteri ni,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Radar nyanyian Tunku Ines, baru-baru ini.

Okay Dipanggil ‘Jes’

Bercakap soal gelaran ‘Cik Puan’, Jeslina yang berkahwin dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman akui lebih selesa dengan panggilan ‘Jes’ sahaja.

“Saya lebih selesa bila orang panggil saya Jes. Saya masih tak biasa dengan gelaran Cik Puan itu. Kalau orang panggil saya menggunakan gelaran, saya akan minta mereka untuk panggil nama saya sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, Jeslina yang popular menerusi lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia itu akui dirinya amat merindukan dunia nyanyian namun, keadaan suaranya kini sudah tidak lagi berada dalam keadaan terbaik.

“Saya memang rindu nak menyanyi semula. Namun, tekak saya ada mengalami masalah. Jika anda dengar suara saya juga sudah berbeza.

“Dahulu saya kerap mengalami gastrik dan doktor maklumkan ada asid di kotak suara saya. Jadi, berlaku sedikit kerosakan. Lagu-lagu dari album lama pun saya tak boleh nak nyanyikan lagi.

“Saya alami masalah ini sudah lebih 10 tahun. Diharapkan bila suara saya sudah sembuh nanti, ada pulang untuk saya menyanyi semula,” kongsinya lagi.

Selain menguruskan keluarga, Jeslina juga kini sibuk menguruskan perusahaan barangan kemas yang direka sendiri olehnya.

Jeslina pernah berkahwin dengan Dion Andrew Vercoe pada 21 April 2005, namun bercerai pada Mac 2013.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Micah, dan Keira.

Jeslina kembali mendirika rumah tangga bersama Tunku Eddy dalam sebuah majlis tertutup pada tanggal 10 Ogos tahun lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Kredit Foto: Instagram Jeslina Hashim

Published by
Aizam Manaf