Penyanyi Datin Alyah yang telah pun dilantik sebagai duta produk Zafesha Simply Foundation mengakui puas hati dengan keadaan kulit wajahnya yang kian baik dan menawan.
Jelasnya pada usia yang bakal menginjak usia 40 tahun, tahun hadapan, sudah tentu soal penjagaan wajah menjadi satu aspek penting tanpa perlu bergantung kepada solekan semata-mata.
“Jujurnya sejak kerajaan melonggarkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya banyak isi masa dengan melancong dalam negeri misalnya ke Langkawi.
“Jadi tidak dinafikan kondisi kulit saya agak kering dan jadi gelap ketika itu.
“Pada usia saya sekarang yang sering terdedah kepada sinar UV dan bila balik rumah, pasang pula penghawa dingin jadi keadaan kulit jadi tidak menentu.
“Saya cuba dahulu produk tersebut dan ternyata ia serasi. Gembira sebab jumpa item cantik yang betul dengan diri sendiri,” akuinya.
Malah penyanyi yang kini popular menerusi lagu Cintaiku secara seloroh mengakui atas perubahan yang berlaku, suami, Datuk Ramli MS suka melihat wajahnya, lebih-lebih lagi pada waktu pagi.
“Jadi apabila saya menggunakan pembersih muka dan serum dari produk ini, jujurnya keadaan wajah jadi lebih baik. Kombinasi yang sangat bagus.
“Kulit kusam mulai berkurangan secara perlahan-lahan. Selama dua minggu, saya mulai rasa perubahannya.
“Kalau ditanya apa kata suami, dia suka tengok saya waktu bangun pagi.
“Untuk bersolek pula saya calit sedikit saya bedak asasnya. Tak perlu banyak hingga nampak ‘berat’,” jelas Alyah yang menjadi wajah wakilan jenama tersebut selama setahun.
Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta produk Zafesha Simply di Hotel Dorsett, Putrajaya, Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Alyah mengakui dia turut pasang perancangan untuk bersara daripada dunia seni beberapa tahun lagi dan salah satu sebabnya, mahu beri tumpuan bagi mendapatkan zuriat.
“Saya memang tak akan menyanyi sampai tua… kita pun tak tahu tapi ini hanya perancangan. Allah lebih mengetahui. Ada satu waktu yang tak boleh nak dikongsikan, tapi saya akan bersara bukan berehat.
“Ini keputusan yang terbaik dan memang saya tidak akan menyanyi sampai umur 45 tahun. Saya pernah luahkan hasrat itu kepada suami dan dia pun faham kenapa saya buat keputusan itu.
“Selagi saya beri komitmen sepenuhnya pada karier seni, mungkin saya tak dapat nak berusaha untuk menambahkan ahli keluarga.
“Saya memang ada perancangan untuk lakukan rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF),” akhiri Alyah.
Zafesha Simply diasaskan oleh pasangan suami isteri, Encik Afizam Abdul Aziz dan Puan Siti Aisah Muhamad Hamim.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI