Pelakon versatil, Izreen Azminda memaklumkan dirinya tidak meninggalkan dunia lakonan secara total.

Ini kerana, ibu kepada dua cahaya mata ini masih lagi menerima tawaran lakonan cuma tidak mampu memberikan komitmen terhadap drama yang terlalu panjang episodnya atas sebab tertentu.

Pada masa sama, Izreen atau nama penuhnya Izreen Azminda Aznam turut meluahkan rasa rindu untuk kembali ke set penggambaran.

“Saya tidak tinggalkan karier lakonan dan saya masih menerima tawaran lakonan cuma saya tidak boleh komited kepada drama episod yang terlalu panjang.

IKLAN

“Suami tidak benarkan memandangkan anak kami masih kecil. Malah saya selesa untuk jaga dan membesarkan anak-anak sendiri.

“Akan tapi tidak dinafikan, kadang saya merindu untuk kembali berlakon. Sudah hampir 12 tahun dalam bidang ini, mestilah ada rasa rindu.

“Apa pun, situasi kini mungkin sedikit berubah kerana kembali berkeluarga dan punya cahaya mata.

“Bagaimanapun, jika ada tawaran yang sesuai dan kena pada masanya, mengapa tidak?,” katanya kepada MH.

Untuk rekod, Izreen mendirikan rumah tangga dengan pemuzik, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude pada 8 Ogos 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Aaron Ibrahim yang kini berusia setahun.

Terdahulu, Izreen pernah berkahwin dengan Muhammad Riza pada 2012 sebelum berpisah pada 2014.

Menerusi perkahwinan pertamanya itu, Izreen turut dikurniakan seorang anak Muhammad Adrian Umar, yang kini berusia 5 tahun.