Penyanyi yang juga kakak kepada Tomok, Ismaliza Ismail, 40, mengakui dirinya gembira dan memanjatkan rasa syukur kerana diberikan jodoh untuk mengharungi hidup bersama insan dan keluarga tersayang.
Malah katanya lagi, apa yang didambakan kini hanya untuk menggembirakan hati, sekali gus tidak mahu lagi ungkit apa kisah yang pernah berlaku sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya pun tak sangka dapat jodoh, orang kata cepat juga dalam masa dua tahun (selepas berpisah dengan suami pertama). Kita tidak tahu perancangan daripada Allah, jadi saya terima seadanya.
“Pada usia begini, saya sebolehnya mahu gembirakan hati. Tidak mahu lagi ungkit kisah yang lepas. Tutup buku lama, buka buku baru,” katanya jujur kepada MH.
Ditanya apakah yang membuka hatinya untuk kembali menjalani hidup sebagai seorang isteri, ibu kepada lima cahaya mata itu menambah, soal jodoh dan ajal semuanya terletak atas Yang Maha Esa.
“Sebenarnya apa yang telah terjadi sebelum ini saya jadikan pengajaran. Saya tiadalah cakap untuk terus tutup pintu hati apabila mengalami fasa perceraian sebelum ini. Tidak boleh cakap begitu.
“Jadi bila Dia sudah bukakan pintu hati, saya terima. Penerimaan anak-anak semuanya baik. Mereka terima dan tiada masalah dengan bapa baru mereka,” katanya yang menjaga anak secara bergilir-gilir dengan bekas suami.
Bercakap mengenai soal cahaya mata pula, bintang kelahiran Akademi Fantasia musim ketujuh ini tidak mahu mengharap, sebaliknya berserah kepada rezeki.
“Kami serahkan kepada Allah SWT. Kalau Dia izinkan kami untuk ada zuriat, alhamdulillah. Mendoakan yang baik-baik.
“Saya tidak boleh untuk cakap mengenai hal tersebut secara berlebih-lebih bimbang nanti apa yang dirancang tidak menjadi, nanti kita juga yang akan rasa kecewa. Kami berserah,” jelasnya.
Lebih selesa untuk tidak berkongsi lebih perihal suaminya, Mohd Dzaki, 35, bintang berusia 39 tahun ini bagaimanapun menjelaskan ia adalah permintaan suami dan sebagai isteri, dia menghormati permintaannya.
“Suami tidak selesa untuk berkongsi mengenai hal peribadi. Apa yang boleh saya beritahu, dia bekerja dalam sektor kerajaan.
“Cukuplah kalau peminat tahu saya sudah berkahwin. Dia juga lebih selesa untuk tidak ke depan dan hanya di belakang tabir sahaja.
“Itu juga permintaannya. Dia seorang yang merendah diri. Malah begitu juga dengan keluarganya.
“Apa yang saya kongsikan di media sosial sebelum ini, hanya itulah yang semampunya untuk saya berkongsi. Saya hanya nak beritahu yang saya sudah berkahwin beserta dengan foto-foto sekitar majlis,” katanya lagi.
Terdahulu, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 21 Disember lalu di Menara Seri Dewan Wilayah, Putrajaya.
Isma sebelum ini pernah berkahwin dengan komposer dan penyanyi Zul 2 By 2 pada 16 April 1998, tetapi bercerai awal tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Muhammad Haiqal Aiman, 21, Muhammad Haiqal Aydiel,20, Seri Aida Merlissa,18, Seri Ayreen Merlynda,16, dan Seri Adryana Mercella,12.
Isma ditemui pada majlis Pelancaran Busana Munawwareen 2020 di Kuala Lumpur. Pada majlis berkenaan, turut diperagakan ialah koleksi terkini dari jenama berkenaan melibatkan koleksi jubah dan busana muslimah untuk wanita di negara ini yang mementingkan kualiti gaya serta keselesaan.
Jenama ini diusahakan oleh Puan Hajah Aliza Abu Bakar selaku Pengarah Urusan yang turut bekerjasama dengan beberapa pereka fesyen tempatan dalam melahirkan koleksi terkini ini.
Dihoskan Zulin Aziz majlis turut diserikan dengan kehadiran jemputan VIP, rakan media serta selebriti tempatan.