Selepas lama tidak muncul di kaca tv, pelakon dan penyanyi, Fatin Afeefa memaklumkan dirinya kini sebenarnya sudah pun meninggal dunia seni.
Menurut Fatin, perkara tersebut merupakan pemintaan suaminya yang juga merupakan usahawan, Aliff Awang selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 2022.
“Selepas berkahwin, saya hormati permintaan suami. Dia tanya saya, boleh ke saya berhenti menyanyi dan berlakon? Saya bersetuju kerana saya sayangkan dia.
“Cuma saya minta kelonggaran sedikit untuk berkerja dan menerima kempen di media sosial. Lagipun saya sudah biasa bekerja.
“Bila terlibat dengan kempen di media sosial, boleh juga saya berjumpa dengan rakan-rakan artis dan pihak media sekali sekala,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Tentang Bulan itu berkata sedemikian ketika ditemui majlis pelancaran produk kecantikan jenama L.SOULLE, baru-baru ini.
Katanya lagi, antara faktor suaminya meminta dia berhenti berlakon adalah untuk menjaga aurat dan batas pergaulan.
“Apa yang boleh saya katakan ketika ini, saya tidak akan menyanyi dan berlakon lagi. Saya kini sedang berusaha menjadi muslim yang lebih baik.
“Kata suami, bila menyanyi, suara itu aurat. Bila berlakon pula, pergaulan berlaku secara bebas. Bila difikir-fikirkan semula, ada betulnya juga.
“Ketika saya aktif berlakon dahulu, kita bebas bergaul tak kira sama ada mereka isteri atau suami orang.
“Saya tak mahu lagi berada di posisi itu lagi. Fokus saya ketika ini adalah keluarga,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fatin turut memaklumkan dia dan suami kini sedang berusaha menjadi muslim yang lebih baik agar menjadi contoh yang teladan buat anak-anak.
“Nak kata kami sepenuhnya berubah pun takut juga. Iman kita ini naik turun dan kami berusaha menjadi muslim yang lebih baik. Saya dan suami pun sudah meninggalkan perkara-perkara haram dan tidak elok.
“Saya bagitahu suami, bila kita nak didik anak-anak, kita kena menjadi manusia yang lebih baik kerana mereka melihat kita sebagai teladan.
“Kalau anak tengok kita buat perkara tak elok, nanti mereka akan ikut dan kita tak boleh salahkan mereka. Kita kena menjadi contoh terbaik supaya kita menjadi idola mereka,” ulasnya lagi.
Fatin menambah, kehidupannya kini juga jauh lebih tenang dan dia juga merasa beruntung kerana dikurniakan suami yang menitik beratkan soal agama.
“Kehidupan saya kini sangat tenang dan rasa lebih baik. Saya pun masih dalam proses pembelajaran. Pada awalnya, saya pun tak tahu nak pakai tudung macam mana.
“Agak susah juga mencari style yang sesuai dan sopan. Kelas agama saya adalah dengan suami saya. Selepas solat, dia akan membacakan hadis. Kami belajar sama-sama,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.