Nabila Razali menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa dirinya cuba meniru cara penyanyi antarabangsa, Ali Gatie yang terlebih dahulu mendedahkan nombor telefon peribadinya kepada peminat di Malaysia menerusi platform Twitter, awal Mac lalu.
Sebaliknya, bintang ini mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.
“Berkongsi nombor peribadi di laman sosial bukan satu ‘trademark’. Sesiapa saja boleh berbuat demikian, sama seperti saya yang berkongsi nombor telefon apabila jumlah tontonan lirik video Peluang Kedua mencecah satu juta tontonan di YouTube.
“Itu adalah janji saya kepada peminat di laman sosial jika lagu itu berjaya mencapai sasaran 1 juta tontonan pada hari kedua dilancarkan.
“Sejujurnya, saya tidak tahu menahu tentang ada artis lain turut melakukan tindakan sama hingga ada netizen yang maklumkannya di laman sosial. Bagi saya, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk tujuan promosi.
“Lagipun ramai yang tahu saya dan pihak pengurusan sentiasa mencari idea kreatif untuk mempromosikan setiap lagu baru dilancarkan. Saya tak rasa apa yang dibuat ini satu kesalahan atau meniru sesiapa.
“Memandangkan kita semua dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya kira ini adalah idea efektif untuk mempromosikan lagu baru kepada peminat.
“Saya juga tidak boleh keluar untuk aktiviti promosi di radio atau televisyen. Jadi ini salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri dengan peminat,” katanya seperti yang dipetik Harian Metro.
Sementara itu, Nabila turut merasa teruja selepas single barunya, Peluang Kedua, meraih sambutan luar biasa seterusnya mengakui telefon bimbitnya tidak henti berdering dan dihujani mesej di WhatsApp.
“Sehingga kini saya menerima lebih 35,000 ribu mesej di WhatsApp. Saya sendiri terkejut dengan maklum balas positif peminat terhadap lagu Peluang Kedua ini.
“Buat masa ini, saya hanya sempat menjawab beberapa panggilan telefon apabila mereka meminta saya sendiri menyanyikan lagu Peluang Kedua secara langsung. Baru saja letak telefon, sudah ada panggilan baru.
“Belum lagi mesej yang menderu masuk sehingga telefon bimbit saya tersekat. Namun saya akan cuba melayan mesej yang masuk itu. Paling melucukan ada juga peminat yang mencipta kumpulan WhatsApp supaya saya dapat berinteraksi dengan keluarga serta rakan mereka.
“Apapun saya sangat gembira dan tak sangka dengan maklum balas luar biasa seperti ini,” jelasnya lagi.
Terdahulu Nabila ada berkongsi nombor telefon peribadi selepas berjanji andai lirik video lagu Peluang Kedua berjaya mencapai satu juta tontonan pada hari kedua pelancaran.
Sehingga kini lirik video lagu Peluang Kedua di YouTube sudah meraih lebih 1.5 juta tontonan. Lagu berkenaan merupakan ciptaan sepenuhnya Hael Husaini.
Sumber: Harian Metro
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI