Juri tetap Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) Datuk Ramli MS menyifatkan penyingkiran penyanyi Rock Bandi Amuk di konsert ketujuh GV8 sebagai sesuatu yang sudah diiangka.
Menurut maestro muzik itu, mana-mana peserta yang gagal memuaskan hati juri dan berada si posisi terakhir dalam carta markah mingguan ada ketikanya boleh ‘terselamat’ kerana tiada penyingkiran dibuat.
“Sesuatu yang sudah dijangka. Sudah nampak…cuma ada ketikanya ‘selamat’ apabila produksi membuat keputusan tiada penyingkiran sebelum ini.
“Dia menjadi peserta yang keempat tersingkir dan kalau nak diikutkan berdasarkan ranking markah… memang itulah. Malah boleh nampak dari segi carta bintang yang tersingkir, seolah-oleh boleh jangka siapa yang akan menyusul.
“Malah rasanya selepas ini pun, ibaratnya sudah dapat jangka siapa yang terkeluar. Cuma iyealah kadang-kadang diselamatkan dengan tiadanya penyingkiran pada akhir konsert,” katanya lagi.
Terdahulu, Bandi yang memperoleh markah 53.8 peratus gagal meneruskan saingan minggu hadapan yang masih berbaki tiga konsert.
Bintang berkenaan menyanyikan lagu I Want To Break A Free (Queen) dalam konsert yang bertemakan ‘Kelentang Kelentong’ itu.
Sejurus Bandi membuat persembahan, Datuk Syafinaz turut memberikan reaksi berhubung intonasinya.
“Saya suka dengan persembahan ini kerana Bandi sudah ‘datang balik’. Akan tetapi kita berbalik kepada ini satu pertandingan, jadi banyak elemen yang perlu kita pastikan boleh diperbaiki.
“Nombor satu sebutan abang dalam Bahasa Inggeris dan kedua intonasi. Ia tentunya mengambil peranan sangat penting dalam sesebuah pertandingan nyanyian,” katanya.
Sementara itu, persembahan meyakinkan dari Nikki Palikat membuahkan hasil apabila meraih markah tertinggi iaitu 72.30 peratus dan Aliff Aziz di tempat kedua dengan 71.90 peratus.
Kesemua peserta diadili Datuk Ramli MS bersama Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz dan Datuk M Nasir sebagai juri jemputan minggu ini.
GV8 masih mengekalkan Nabil Ahmad serta Jihan Muse sebagai hos dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Anugerah Digi Next Level dimenangi oleh Adibah Noor manakala pemenang Bintang Cuckoo Healty Home berpihak kepada Suki Low.
Anugerah Paling Power Meow dimenangi peserta yang menduduki markah tertinggi.
Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara RM30,000 tempat ketiga.
Untuk rekod, musim pertama Gegar Vaganza dimenangi oleh Ayai (Ilusi), Siti Nordiana pada musim kedua, Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6) dan Cliff Umar (GV7).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Foto: Instagram Astro Gempak